MENGENALI KEPELBAGAIAN BUDAYA SAMBIL BERHIBUR – MALAM GALA ANTARABANGSA 2015
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
PULAU PINANG, 9 Disember 2015 – Malam Gala Antarabangsa Universiti Sains Malaysia kali ke-10 anjuran bersama oleh Pejabat Antarabangsa (IO), Persatuan Pelajar Pasca Siswazah (PSA), Desasiswa PETAS, Student Buddies dan Institut Pengajian Siswazah (IPS) yang berlangsung malam kelmarin di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) telah menghimpunkan pelajar-pelajar dari dalam dan luar negara untuk melakukan persembahan kebudayaan negara masing-masing.
Pengarah Program Malam Gala Antarabangsa 2015, Alaa Nimer Abukhalifeh dari Jordan berkata, penganjuran Malam Gala Antarabangsa ini adalah kemuncak bagi aktiviti yang diadakan pada tahun ini dan juga merupakan lanjutan daripada program Minggu Antarabangsa yang berlangsung pada minggu lalu.
“Saya ingin berterima kasih kepada seluruh ahli jawatankuasa yang terlibat dalam menjayakan program ini dan telah bertungkus-lumus selama empat bulan bagi merealisasikan program malam ini untuk berjalan lancar,” katanya.
Tambah Alaa, program malam ini juga merupakan antara platform yang dapat mengumpulkan para pelajar dari pelbagai negara di dunia ini untuk duduk bersama-sama dan berhibur sambil mengenali kepelbagaian budaya masing-masing.
Alaa juga berharap program sebegini akan terus diadakan pada tahun hadapan agar hubungan antara para pelajar ini tidak akan terus terputus malahan diperkukuhkan untuk menyumbang kepada kecemerlangan USM.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Program Malam Gala Antarabangsa 2015, Mohammad Ali Sarvghadi dari Iran pula menjelaskan yang penganjuran program ini telah menyerlahkan sifat kepimpinan para pelajar antarabangsa di USM kerana segala persiapan dari permulaan hingga penamat program ini dilaksanakan dengan kemahiran dan pengalaman para pelajar ini.
“Ini menunjukkan bahawa pelajar antarabangsa di USM ini adalah pelajar yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang baik dan boleh dicontohi oleh masyarakat luar,” tegasnya.
Jelas Ali lagi, program ini adalah berkonsepkan "dari pelajar antarabangsa kepada pelajar antarabangsa" iaitu para pelajar yang terlibat dengan persembahan dapat menyerlahkan kebudayaan masing-masing kepada rakan-rakan negara lain justeru keakraban antara mereka dapat terus terpelihara.
Sebanyak 14 persembahan dari negara-negara seperti Thailand, Indonesia, Pakistan, India, Jepun, Morocco, Nigeria, China dan lain-lain yang telah mengumpulkan hampir 1500 orang penonton pada malam ini.
Turut hadir memeriahkan malam ini ialah Pro Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, Konsul Jenderal Republik Indonesia di Pulau Pinang, Taufiq Rodhy, Konsul Jeneral Kehormat Pakistan di Pulau Pinang, Dato’ Haji Abdul Rafique Abdul Karim dan wakil daripada Kedutaan Amerika Syarikat ke Malaysia.
- Created on .
- Hits: 992