USM TANDATANGANI NOTA PERSEFAHAMAN DENGAN KKM – M QUIT SERVICES
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
PULAU PINANG, 8 Disember 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah menandatangani “Nota Persefahaman Berhenti Merokok (M Quit Services) Melalui Kerjasama Perkhidmatan Awam dan Swasta” baru-baru ini dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Bilik Gerakan Utama, Kompleks E, KKM.
KKM sedang dalam usaha untuk memperkukuhkan perkhidmatan rawatan berhenti merokok selaras dengan Artikel 14, Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) yang telah digariskan di dalam konvensyen ini.
Pengarah Pejabat Inovasi dan Pengkomersilan, Profesor Dr. Rahmat Awang berkata, perkhidmatan rawatan berhenti merokok M Quit Services merupakan suatu integrasi di antara perkhidmatan awam dan swasta bertujuan untuk meningkatkan capaian serta akses penggunaan kepada perkhidmatan ini.
“Universiti Sains Malaysia (USM) telah bersetuju untuk menjadi rakan kongsi dalam merealisasikan pelaksanaan M Quit Services dengan menyediakan perkhidmatan dan sokongan kepada sektor swasta,” tambahnya.
Jelasnya lagi, berasaskan kepakaran sedia ada dalam bidang kawalan tembakau dan teknologi maklumat, USM berperanan dalam menyediakan perkhidmatan kaunseling berhenti merokok melalui telefon (quitline) dimana perkhidmatan ini menawarkan khidmat nasihat dan sokongan yang sistematik dan berkala dalam tempoh satu tahun kepada klien yang berhasrat untuk berhenti merokok dan perkhidmatan ini juga akan merujuk klien yang memerlukan rawatan ubat kepada perkhidmatan berhenti merokok terdekat yang telah diiktiraf samada di sektor awam ataupun swasta mengikut pilihan klien tersebut.
Mengulas lanjut, selain itu, USM juga menyediakan sistem USM Tobacco Quitline bagi menyelaras pemantauan perkhidmatan quitline dan perkhidmatan berhenti merokok swasta yang diiktiraf, bertujuan menilai keberkesanan program, menyalurkan maklumat berkaitan perkembangan perkhidmatan berhenti merokok swasta kepada pihak KKM dan juga akan membantu KKM dalam menjalankan analisa perkhidmatan berhenti merokok swasta.
“Justeru itu, USM, melalui kerjasama ini berharap perkhidmatan rawatan berhenti merokok di Malaysia dapat diperkukuhkan bagi memastikan mereka yang merokok dapat berhenti merokok sepenuhnya dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik,” katanya.
Nota Persefahaman ini juga ditandatangani oleh 3 organisasi lain iaitu Universiti Malaya (UM), Akademi Farmasi Malaysia dan syarikat Johnson & Johnson.
Turut hadir ke majlis ini ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan.
- Created on .
- Hits: 1399