USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RANGKUL ANUGERAH MYAGROSIS JAYA

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

Foto: Zamani Abdul Rahim

KUALA LUMPUR, 8 Disember 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan kegemilangan apabila berjaya merangkul Anugerah MyAgrosis Jaya sempena sambutan ke-50 tahun FAMA diadakan baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, Universiti Sains Malaysia (USM) dipilih sebagai Kelab MyAgrosis terbaik daripada 20 IPTA yang bertanding dan membawa pulang sebuah trofi, Sijil dan wang berjumlah RM10,000.00.

Kejayaan tersebut amat bermakna buat USM kerana disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang hadir ke majlis sambutan itu.

Timbalan Naib Canselor, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dato’ Dr. Adnan Hussein hadir mewakili USM menerima anugerah.

Yang Dipertua Kelab MyAgrosis USM, Muhammad Arif Yahya, 22, berkata, anugerah ini cukup bermakna buat USM kerana dengan usia yang masih muda penubuhan pada 1 Mei 2012, Kelab MyAgrosis USM berjaya mengungguli anugerah besar seperti ini.

“Saya bagi pihak Kelab MyAgrosis USM mengucapkan jutaan terima kasih kepada USM dan Lembaga Pertubuhan Peladang Pulau Pinang kerana sentiasa menyokong segenap usaha kami sejak kelab ditubuhkan”.

Katanya, ia merupakan titik tolak kepada setiap ahli kelab untuk lebih bertekad meneruskan kejayaan demi kejayaan apatah lagi menanam cita-cita menjadi Usahawan Hijau (Agro Entrepreneur) di masa hadapan.

Arif ketika ditemubual bekata, beliau tidak menyangka dengan 4 kriteria yang diberikan berjaya menambat hati juri pemilihan sekaligus menobatkan USM antara terbaik di kalangan semua IPTA bertanding.

“Antara kriteria yang dipertandingkan adalah bilangan ahli MyAgrosis paling ramai (25%), bilangan aktiviti atau program yang dijalankan oleh kelab (25%), ahli MyAgrosis yang berdaftar dengan Agrobank (25%) dan keuntungan kedai K-Shoppe (25%)”.

Daripada empat kriteria  tersebut USM memperoleh markah tertinggi dalam keahlian teramai, iaitu melebihi 300 keahlian yang aktif dan aktif menjalankan aktiviti dan program.

Selain itu, Arif menyatakan antara projek utama MyAgrosis adalah tanaman Cendawan Tiram Kelabu dan kedai K-Shoppe serta menyasarkan tanaman sayuran hidroponik sebagai projek seterusnya.Kejayaan ini turut diraikan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato’ Seri Idris Jusoh yang hadir ke USM merasmikan Toray-Usm Knowledge Transfer Centre.

Beliau turut meluangkan masa bersama ahli-ahli kelab MyAgrosis USM berkongsi idea dan pendapat bagi penambahbaikan kelab.

“Saya ingin melihat lebih kejayaan demi kejayaan daripada kelab ini, kerana saya yakin ini merupakan landasan terbaik melatih dan membimbing pelajar USM lebih berdaya saing dalam bidang keusahawanan,” kata beliau.

Turut hadir ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dato’ Dr. Omar Osman dan Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa USM, Prof. Dato Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal.

MyAgrosis atau Kelab Usahawan Graduan Pertanian, telah dilancarkan pada 17 Disember 2011 oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bagi membawa Institusi Pengajian Tinggi ke arah teras pengeluaran makanan negara serta membantu negara menangani kekurangan import makanan.

MyAgrosis sebagai program menyokong dasar negara untuk melahirkan usahawan siswazah moden yang terbilang berasaskan bidang pertanian selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencapai negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

  • Created on .
  • Hits: 1052

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024