PENGKOMERSIALAN IDEA: MALAYSIA DUDUKI TANGGA KEENAM DI DUNIA
PULAU PINANG, 8 Disember 2015 – Malaysia menduduki tangga keenam di dunia bagi bidang pengkomersialan idea melalui perundingan, latihan, penerbitan dan sebagainya.
Demikian kata Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh dalam sidang media selepas merasmikan penutup Ekspo Penyelidikan dan Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA 2015) kali ke-14 di Kuala Lumpur baru-baru.
Keseluruhannya bidang pengkomersialan idea dan juga penyelidikan di Malaysia sedang meningkat naik dan dengan penganjuran PECIPTA 2015 ini akan menghasilkan lebih banyak ahli akademik yang lebih kreatif.
“Bidang pengkomersialan produk penyelidikan di Malaysia ini adalah lebih baik dari segi pulangan atas pelaburan atau Return on Investment (RoI) iaitu 5.33 peratus berbanding di dunia hanya 5.0 peratus,” tambah Idris.
“Kementerian Pendidikan Tinggi menggalakkan penyelidik untuk terus bergiat dalam penyelidikan yang mana ciptaan dan inovasi ini boleh memberikan kebaikan kepada masyarakat,” kata Idris yang turut melancarkan buku terbitan Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) Universiti Sains Malaysia (USM) iaitu ‘Disaster Risk Management for Sustainable Development (DRM-SD) – National Directory of Expertise’ .
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), Dato’ Profesor Dr. Asma Ismail PECIPTA 2015 telah berjaya mengumpulkan sebanyak 495 produk penyelidikan yang dikategorikan dalam 9 kluster termasuk Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Pertanian, Akuakultur dan Alam Sekitar, Bioteknologi dan Sains Tulen, Teknologi Pembuatan, Teknologi Komunikasi Maklumat dan Multimedia serta Kesihatan dan Kesejahteraan.
“Pada kali ini juga PECIPTA 2015 menerima penyertaan tertinggi dari insititusi swasta berbanding sebelum ini serta penyertaan pertama daripada Politeknik dan juga Kolej Komuniti di seluruh Malaysia,” kata Asma.
Untuk rekod, USM merangkul 8 pingat emas dan satu anugerah khas, 7 pingat perak dan 7 pingat gangsa daripada 24 produk yang menyertai PECIPTA 2015 bermula 4-6 Disember 2015 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
PECIPTA 2015 adalah anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi dan pada tahun ini, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Profesor Dato’ Dr Muhamad Jantan yang mewakili Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr Omar Osman, Naib Canselor UPSI Profesor Dato’ Dr Zakaria Kasa dan Timbalan Nain Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI merangkap Pengerusi PECIPTA 2015, Profesor Dato’ Dr Noraini Idris.
Teks: Nor Rafizah Md Zain/ Foto: Muhammad Firdaus Khiruddin
- Created on .
- Hits: 1053