BANGUNAN TORAY-USM KTC MERCU TANDA AGENDA LIBATSAMA INDUSTRI - UNIVERSITI
Teks: Marziana Mohamed Alias (
Foto: Mohd Fairus Md. Isa
PULAU PINANG, 7 Disember 2015 – Kejayaan Universiti Sains Malaysia (USM) menzahirkan kecemerlangan kolaborasinya bersama industri melalui penubuhan Toray-USM Knowledge Transfer Centre (KTC) disifatkan sebagai satu mercu tanda dalam agenda pengantarabangsaan Universiti itu.
Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, Toray-USM KTC juga menjadi ikon kejayaan kolaborasi universiti-industri yang dilakukan dengan cara yang unik, melangkaui kerjasama dalam pembangunan akademik, penyelidikan dan sebagainya.
Katanya, kejayaan USM itu juga perlu dicontohi kerana selari dengan matlamat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memberi penekanan kepada kolaborasi universiti-industri yang turut digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) 2015-2025.
“Keberhasilan kolaborasi ini juga menunjukkan rakan antarabangsa turut memberi kepercayaan kepada USM dalam pelbagai hal, dari meningkatkan kualiti pembangunan akademik, penyelidikan berimpak, tahap efisiensi dan sebagainya.
“Toray-USM KTC juga adalah contoh terbaik yang memperlihatkan kelestarian hubungan dua hala jangka panjang dan turut menandakan pihak Toray percaya dengan kemampuan USM menjana pendapatannya melaluinya,” ujarnya dalam sidang media selepas merasmikan bangunan tersebut di sini hari ini.
Tambah beliau, pihaknya turut teruja dengan komitmen USM dalam beberapa lagi agenda pengantarabangsaannya termasuk dalam program kerjasama seperti Kyoto University of Foreign Studies-USM Japanese Cultural Centre, Nagaoka University of Technology-USM Gigaku Techno Park dan USM-Steinbeis Transfer Centre Network (STCN).
Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman pula berkata, bangunan yang dibina dengan sebahagian kosnya dibiaya pihak Toray melalui sumbangan bernilai RM4 juta itu menjadi bukti keutuhan dan kejayaan hubungan universiti-industri dalam mengangkat hasil kerja keilmuan.
Katanya, kejayaan itu adalah sebahagian dari usaha keras USM melebarkan sayapnya ke persada gobal melalui jaringan industri dan sehingga kini usaha kolaborasi USM telah menjangkau kepada 2,880 industri, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
“Kita ada pelbagai rakan industri, baik di peringkat multinasional, syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan sehingga kepada industri kecil dan sederhana. Toray adalah antara rakan kolaborasi terkuat USM dan ia telah bertahan sejak sekian lama,’’ katanya.
Bangunan ini katanya, menjadi mercu tanda USM dalam bidang nic, kekuatan akademik dan perhubungan serta jaringan dalam bidang seperti tenaga diperbaharui dan teknologi hijau, kearifan tempatan, perhubungan industri dan sebagainya.
Sementara itu Presiden Toray Industries Inc. Japan, Dato’ Akihiro Nikkaku berkata, pihaknya komited untuk terus menyumbang dalam memperkasa usaha pembangunan pendidikan tinggi di Malaysia melalui kolaborasi seperti yang dilakukan dengan USM.
“Toray-USM KTC menjadi satu penanda aras dalam kejayaan menubuhkan pusat keutamaan yang akan memperkasa lebih banyak kolaborasi dalam bidang-bidang lain yang lebih luas,’’ ujarnya.
Duta Besar Jepun ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa menyifatkan penubuhan Toray-USM KTC dapat mengukuhkan hubungan dua hala di antara Malaysia dan Jepun khususnya dalam membangunkan penyelidikan canggih dan terkini (cutting-edge research) yang dapat melonjak pencapaian negara ke persada dunia.
Bangunan Toray-USM KTC menempatkan 11 pejabat utama yang berkaitan dengan program pemindahan ilmu yang diterajui oleh USM termasuk beberapa jaringan antarabangsa, pejabat perhubungan universiti luar negara terutamanya dari Jepun serta program pemindahan ilmu di bawah KPT sebagai sebahagian program agenda kritikal.
Bangunan ini menjadi bukti keutuhan dan kejayaan hubungan universiti-industri dalam mengangkat hasil kerja keilmuan seperti usaha penyelidikan dan inovasi serta hubungan dari pelbagai jaringan yang dibangunkan untuk meletakkan nama universiti dan negara ini di peringkat global.
Yang turut hadir dalam majlis bersejarah itu Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan; Naib Presiden Kanan Toray Industries Inc., Yukichi Deguchi; Timbalan Naib Canselor USM (Jaringan Industri dan Masyarakat) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis Perasmian, Profesor Dato’ Dr. Susie See Ching Mey; Pengarah Urusan Toray Industries (Malaysia) Sdn. Bhd., Hiroshi Yoshimura; pegawai-pegawai utama USM serta Toray Industries.
- Created on .
- Hits: 2389