AEROFEST PERTEMUKAN PELAJAR KEJURUTERAAN AEROANGKASA ENAM IPTA
NIBONG TEBAL, November 2015 – Penganjuran festival aeroangkasa atau dikenali sebagai AEROFEST di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini mempertemukan lebih 150 pelajar jurusan aeroangkasa, aeronautik dan astronautik daripada enam institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk berkongsi idea, maklumat dan pengalaman dari universiti masing-masing.
Universiti yang terlibat dalam AEROFEST pada kali ini adalah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL-MIAT), Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan USM selaku tuan rumah.
Menurut Timbalan Dekan (Akademik), Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Dr. Ahmad Zulfaa Mohamed Kassim berkata, program tersebut antara lain bermatlamat untuk menyatukan dan merapatkan hubungan silaturahim antara pelajar kejuruteraan aeroangkasa dari seluruh IPTA di Malaysia.
“Saya yakin, pelajar dapat berkongsi idea, maklumat dan pengalaman dari universiti masing-masing seterusnya mempratikkan pengetahuan yang diperolehi dari program ini,” katanya yang hadir merasmikan majlis di Pusat Mahasiswa (PUMA), Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (HEPA), Kampus Kejuruteraan, USM.
Sementara itu, Pengarah Projek, Tan Pheng Chuen berkata festival tersebut telah berjaya mencapai matlamat dan objektif yang ditetapkan iaitu bukan sekadar untuk memperolehi kemenangan semata-mata malah dapat bertemu, bertanding dan memperolehi pengalaman (meet, compete, experience).
“Ini merupakan kali pertama USM menjadi penganjur dan saya sangat teruja sekiranya diberi peluang lagi untuk menganjurkan program seperti ini pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui semasa majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang dalam pertandingan Glider, Quadcopter dan CanSat di sini semalam.
Manakala bagi Ketua Pasukan Roboteam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohamad Farhan Ahmad ketika ditemui berkata, beliau sangat gembira dan berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukan yang bekerjasama sehingga pasukannya mendapat kemenangan dan mengharumkan nama universiti.
“Saya kira, ini adalah kemenangan bersama untuk seluruh pelajar yang menceburi bidang ini”, kata Farhan yang mewakili pasukannya dan memenangi acara bagi kategori Quadcopter.
“Bagi saya selain daripada hubungan silaturahim, program ini sangat memberi manfaat kepada kami dalam mempelajari ilmu pengetahuan yang baru dan menambahbaik segala kekurangan untuk kami lebih kreatif dan inovatif pada masa hadapan,” katanya lagi.
Kesemua pemenang membawa pulang wang tunai sebanyak RM500.00 bagi juara, RM300.00 bagi Naib Juara dan RM100.00 bagi tempat ketiga beserta trofi dan sijil penyertaan.
Turut hadir dalam majlis penutup adalah Timbalan Dekan (Akademik), Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Dr. Ahmad Zulfa Mohammad Kassim serta dua orang penaja program iaitu Pengurus, Synergy (M) Sdn. Bhd., Muhammad Syafiee Mazlan dan Pengarah Urusan, Jat Asset Intergrity Offshore & Onshore Sdn. Bhd., Encik Azhar Abdul Aziz.
Teks: Mohd Kamil Ashar/Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin
Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 966