NC USM TERIMA ANUGERAH KERIS MAS
KUALA LUMPUR, 6 Disember 2015 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman hari ini menerima Anugerah Keris Mas kategori Naib Canselor daripada Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersempena Majlis Perasmian Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 2015 (PEMANAS 3.0).
Anugerah ini diberikan kepada Naib Canselor atas sumbangan, sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam pelbagai program Biro Pendidikan.
Ketika ditemui, Omar melahirkan rasa terima kasih kepada penganjur yang memberikan pengiktirafan ini dan USM adalah universiti yang mempelopori dan memberikan sepenuh kepercayaan kepada mahasiswa untuk menimba pengalaman dalam pelbagai bidang yang diceburi."Pengiktirafan ini adalah untuk kepimpinan pelajar USM yang mempunyai ciri-ciri pemimpin ‘We Lead’ seperti mana motto USM.
"Saya doakan kepimpinan pelajar akan terus berkembang dan pemantapan ‘We Lead’ akan terus menjadi agenda utama mahasiswa USM," kata Naib Canselor.
PEMANAS 3.0 ini menghimpunkan mahasiswa daripada institusi pengajian tinggi awam untuk mengetengahkan usul-usul yang relevan kepada pendidikan negara dan juga pembangunan negara yang tercinta.
Berucap merasmikan PEMANAS 2015, Mohd Najib berharap negara yang akan ditinggalkan kepada golongan mahasiswa ini adalah sebuah negara yang mempunyai daya saing yang kuat dan juga terbaik di dunia.
"Saya kagum dengan semangat mahasiswa dan juga pemimpin muda ini untuk menjadi agen untuk tonjolkan Malaysia di mata dunia," kata Mohd Najib yang turut menyampaikan enam anugerah lain termasuk Anugerah Serikandi Terbilang, Seri Budiman dan Anugerah Khas Menteri Mentor.
Turut menerima anugerah pada majlis yang sama adalah Pengarah, Pejabat Aset dan Operasi Universiti, Nazru Ismail yang menerima Anugerah Satria Perkasa bagi kategori Pentadbir.
"Saya bersyukur dengan anugerah yang diberikan dan ini adalah satu pengiktirafan untuk semua pentadbir di USM yang juga sama-sama mentadbir dan memberikan sumbangan kepada pembangunan USM," kata Nazru yang telah lebih 30 tahun terlibat dalam pembangunan mahasiswa ketika bertugas di Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, USM. Teks: Nor Rafizah Md Zain (
Teks: Nor Rafizah Md Zain (
Foto: Muhammad Firdaus Khiruddin (
- Created on .
- Hits: 1698