24 PRODUK PENYELIDIKAN USM AMBIL BAHAGIAN PECIPTA 2015
Teks: Nor Rafizah Md Zain (
Foto: Muhammad Firdaus Khiruddin (
KUALA LUMPUR, 5 Disember 2015 - Sebanyak 24 produk penyelidikan Universiti Sains Malaysia (USM) sertai Ekspo Penyelidikan dan Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA 2015) kali ke-14 di sini bermula semalam dan berakhir 6 Disember ini yang dibuka kepada orang ramai bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.
Penyertaan terbahagi kepada enam kluster iaitu Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Pertanian, Akuakultur dan Alam Sekitar, Bioteknologi dan Sains Tulen, Teknologi Pembuatan, Teknologi Komunikasi Maklumat dan Multimedia serta Kesihatan dan Kesejahteraan.
Pameran tiga hari ini yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) adalah anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diberi penghormatan menjadi tuan rumah PECIPTA 2015.
Melalui platform ini para penyelidik berpeluang untuk bertemu dengan industri yang berpotensi untuk menjalinkan kolaborasi dalam bidang yang berkaitan sama ada untuk pengkomersialan produk atau untuk projek pemindahan ilmu.
Antara produk yang dipamerkan dari Universiti Sains Malaysia (USM) adalah DiabeSmile Cookies iaitu biskut kesihatan yang mengandungi fiber yang tinggi serta kurang gula; BAL EX PHYSIO modul fisioterapi untuk penyembuhan pesakit strok; Le Sticho GAG untuk penyembuhan luka hasil pembuatan daripada Gamat Sawo; dan Mu-Derm, krim penyembuhan luka yang diperbuat daripada mukos ikan haruan.
Yang turut melawat pameran adalah Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi Profesor Dato Dr. Asma Ismail.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Idris Jusoh akan menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada hari Ahad, jam 2.00 petang sekaligus melancarkan buku terbitan USM 'Disaster Risk Management for Sustainable Development (DRM-SD) - National Directory of Expertise.
- Created on .
- Hits: 1174