USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELESTARIAN DAN REKONSTRUKSI ELAK “KEMATIAN” KHAZANAH

 DSC0335

Oleh: Hafiz Meah Ghouse Meah (This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.)
Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar (This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.)

PULAU PINANG, 4 November 2015 - Bahasa peribumi dan dialek perlu didokumentasikan secepat mungkin, jika langkah ini tidak dilakukan maka khazanah yang kaya-raya ini akan lenyap begitu sahaja tanpa ucapan selamat tinggal.

Demikian merupakan penekanan yang disampaikan oleh Profesor Dr. Noriah Mohamed ketika menyampaikan siri syarahan umum pelantikan profesor yang bertajuk “Pelestarian Turunan, Penelusuran Moyang: Pengadunan Sosiolinguistik dan Linguistik Sejarah Dalam Pendokumentasian Bahasa Peribumi” di Dewan Persidangan Universiti hari ini.

Noriah berkata, konsep bahasa peribumi dan dialek Melayu yang dilihat dari susur pandang sosiolinguistik ditentukan berdasarkan parameter tertentu dan selain criteria tanpa aksara, parameter lingkungan tabii bahasa peribumi dan dialek Melayu memperlihatkan kedua-duanya berpotensi besar untuk menghadapi keterancaman yang mungkin menyebabkan kematian atau kepupusan.

“Pendokumentasian bahasa yang masih hidup atau yang telah pupus boleh dilaksanakan menerusi pelbagai kaedah, namun begitu, yang dijadikan kerangka epistemologi di sini ialah kaedahnya.“

Walaupun usaha pelestarian bahasa peribumi dan dialek Melayu yang masih hidup tidak kurang sukarnya, memastikan pelestarian bahasa dan dialek yang sudah pupus lebih lagi sukarnya, apatah lagi jika kedua-duanya tidak mempunyai rekod bertulis dan penutur terakhirnya masing-masing sudah meninggal dunia,” jelasnya.

Pun begitu katanya, kaedah linguistik sejarahlah yang memainkan peranannya, dan kaedah ini meneliti bahasa turunan yang masih hidup, membandingkan bahasa-bahasa ini serta merekonstruksi atau membina semula bentuk bahasa yang lebih tua hasil perbandingan tersebut.

“Disebabkan wujud ancaman terhadap bahasa, maka konsep pelestarian bahasa diperkenalkan dan lestari ialah konsep yang sudah lama wujud tetapi hanya kebelakangan ini semakin menyerlah akibat kemerosotan persekitaran hidup manusia,” ulasnya lagi.

Cara pelestarian bahasa adalah dengan menyebarkan maklumat nahu bahasa yang mati atau hampir mati, mengembangkan teks dan program pengajaran, mengembangkan kosa kata teknikal dan merakam secara audio atau video penggunaan bahasa.

Tambahnya di akhir syarahan, ternyata kita sedang berdepan dengan suasana kritikal keterancaman bahasa peribumi dan dialek dan keadaan ini mendesak kita supaya bertindak dan semua cabang linguistik sepatutnya digabungkan secara menyeluruh dan dengan penggabungan ini barulah sebuah panorama linguistik yang meraikan kepelbagaian bersekali dengan ekologi terakam dengan kemas berkaitan perkara ini.

UNECSO mengutarakan terdapat sembilan sebab bahasa mengalami keterancaman antaranya pewarisan bahasa antara generasi, jumlah penutur mutlak, kadar penutur dalam keseluruhan penduduk, penghilangan domain penggunaan bahasa yang sedia ada, reaksi kepada domain dan media baru, bahan untuk pendidikan dan literasi, dasar dan sikar kerajaan serta institusi, sikap komuniti terhadap bahasa mereka sendiri dan akhir sekali jumlah kualiti dokumentasi.

Berdasarkan pengiraan sekarang, separuh daripada kira-kira 6,000 bahasa yang dituturkan di seluruh dunia dijangka akan mati, pupus atau punah pada 100 tahun yang akan datang (Krauss, 1992).

Turut hadir ke siri syarahan ini adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Profesor Madya Dr. Hajar Abdul Rahim.

  • Created on .
  • Hits: 915

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024