'RUN, WALK AND WHEEL' TINGKAT KEPRIHATINAN USM TERHADAP OKU
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar (
GEORGE TOWN, 5 Disember 2015 – Pelbagai inisiatif diambil oleh Universiti Sains Malaysia (USM) bagi memastikan golongan terkebawah mendapat perhatian sewajarnya termasuk melalui penganjuran 'Run, Walk and Wheel' hari ini.
Projek tahun akhir pelajar Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia ini berjaya mengumpulkan sejumlah besar golongan Orang Kurang Upaya di bawah Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) bagi menyertai larian bersama hampir 200 orang warga kampus di Kebun Bunga, Pulau Pinang.
Salah satu program komuniti USM ini antara lainnya ingin mendekatkan masyarakat normal dengan golongan OKU agar mereka seiring dalam melakukan aktiviti sosial bersama.
Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM, Prof. Madya Dr. Jamilah Hj. Ahmad berkata, program ini merupakan buat kali kedua dianjurkan untuk memupuk sikap pelajar USM menghargai golongan kurang upaya ini.
"Program ini merupakan program santai dan harmoni tetapi ia memberi erti agar golongan kurang upaya ini sentiasa diambil perhatian dan turut bersama-sama dengan universiti tanpa ada perbezaan dengan kelompok tertentu".
Turut hadir adalah Datin Suliana Shamsudin Alias, Pengerusi Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK), Timbalan-Timbalan Dekan Pusat Pengajian Komunikasi dan warga Pusat Pengajian Komunikasi.
Tambah beliau, penglibatan golongan OKU bersama USM menunjukkan tanda positif USM sentiasa di hati mereka dan sekaligus dapat membantu meningkatkan keyakinan diri mereka keseluruhannya.Pengarah Projek, Gwen Lim Sor Wen ketika ditemubual berkata, ini merupakan peluang keemasan buat beliau dan barisan jawatankuasa Projek Komunikasi@USM-YOKUK untuk mendalami kehidupan dan keperluan golongan OKU.
"Penglibatan lebih banyak pihak dalam larian amal ini dapat membantu meneruskan kelangsungan dana dan kesukarelawan bagi YOKUK".
"Hasil kutipan wang pendaftaran penyertaan larian amal ini sebahagiannya akan disumbangkan kepada yayasan berkenaan".
Tambah Gwen, ini sekaligus memenuhi matlamat utama larian amal bagi menambah dana kepada Yayasan Orang Upaya Kelantan (YOKUK) demi menjamin kesejahteraan hidup OKU.
Larian amal yang dilepaskan oleh Prof. Madya Dr. Jamilah Ahmad ini turut diserikan dengan beberapa persembahan nyanyian dan tarian daripada pelajar USM serta senaman zumba selepas larian tamat.
- Created on .
- Hits: 995