ALUMNI DERMAWAN SUBANG DANA RM50,000 UNTUK YAYASAN USM
Teks: Marziana Mohamed Alias (
BANGSAR, 4 Disember 2015 – Berpegang kepada kata-kata emas ‘be the change to what you want to see in the world’, alumni Universiti Sains Malaysia (USM) yang terkenal dengan inisiatif mulia, menyumbang dana peribadi berjumlah RM50,000 kepada Yayasan USM.
Alumni berkenaan yang kini bergelar usahawan, Dipak Vrijlal Damani, 50, berkata, sumbangan tersebut adalah satu bentuk pengorbanan kecil yang dilakukan khusus untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi.
Katanya, usaha untuk memberi sumbangan kepada alma mater telah lama timbul namun hanya baru-baru ini ada pihak yang memberitahunya bahawa USM menubuhkan Yayasan USM untuk membantu golongan kurang berkemampuan.
“Saya dikurniakan dengan rahmat yang cukup indah, termasuk kasih sayang kedua ibubapa, sokongan padu keluarga tercinta, galakan daripada sahabat-sahabat serta komuniti dan ia menjadi pendorong untuk saya terus menyumbang.
“Dana ini adalah antara usaha kecil yang diharap dapat menyuntik semangat buat pelajar kurang berkemampuan untuk bersaing mengejar ilmu, seterusnya berupaya mengubah taraf hidup dan sosial ekonomi mereka,” katanya.
Alumni daripada Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan tahun 1989 itu juga berkata, sumbangan itu adalah antara satu penghormatan yang diberikan khusus untuk kedua ibubapa beliau yang disifatkan telah berkorban apa sahaja untuk kejayaan beliau dan adik-beradiknya.
“Saya tidak lakukan perkara ini untuk diri saya sendiri sebaliknya ia adalah tanda ingatan dan penghormatan saya buat kedua ibubapa. Mereka telah menyumbang jasa yang tidak terhingga untuk saya dan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas pelancaran tabung Damani Indira Vrajlal Talent Fund di sini semalam.
Yang hadir menerima sumbangan bagi pihak Yayasan USM ialah Pengerusi Lembaga Pemenang Amanahnya, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur.
Dalam pada itu, Mustafa pula berkata, pihaknya amat terharu dengan sumbangan yang diperolehi dan menyifatkannya sebagai satu usaha mulia yang perlu dicontohi semua pihak.
“Yayasan USM masih memerlukan sokongan semua penyumbang dalam usahanya untuk membantu dalam menyokong pembangunan masa depan pelajar-pelajar berpotensi untuk kecemerlangan menuntut ilmu.
“USM juga amat berterima kasih kepada Dipak dan adik beliau, Bharat di atas sumbangan yang dilakukan dan Yayasan USM komited untuk terus bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai matlamat murni membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
- Created on .
- Hits: 969