MASYARAKAT PERLU BERSAMA-SAMA BANTU OKU
Syuhada Abd Aziz (
PULAU PINANG, 4 Disember 15 - Kesedaran dalam menjaga kebajikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) perlulah menjadi tanggungjawab bersama dalam setiap golongan masyarakat di negara ini.
Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan OKU, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Pathmanathan Nalasamy berkata, sokongan daripada masyarakat adalah perlu untuk golongan OKU mendapat kehidupan yang lebih berkualiti.
“Penerimaan masyarakat secara amnya dapat membantu menambah keyakinan mereka untuk bersama-sama bersaing dalam dunia globalisasi kini. Hal ini bagi memastikan bakat dan keupayaan golongan OKU ini tidak disia-siakan hanya kerana mereka tidak bernasib baik,” katanya.
Tambah Pathmanathan lagi, golongan OKU juga perlu yakin bahawa mereka mampu untuk bersama-sama masyarakat yang lain dalam pelbagai bidang yang ingin diceburi tanpa perlu memandang rendah akan kekurangan yang ada pada diri mereka.
“Saya juga berharap penglibatan pelajar universiti dalam program komuniti masyarakat ini dapat memberikan pengalaman yang berharga selain dapat manabur bakti kepada masyarakat khususnya kepada golongan OKU,” jelasnya ketika ucapan perasmian sempena Karnival ‘Love, Care and Hope’ anjuran Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK).
Karnival ini juga diadakan sempena sambutan International Day of People with Disability (IDPwD) yang disambut pada 3 Disember setiap tahun.
Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM, Profesor Madya Dr Jamilah Hj Ahmad turut yakin bahawa projek seumpama ini mampu memberi impak yang berbeza kepada masyarakat dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang peranan komuniti untuk menjamin kesejahteraan hidup golongan OKU.
“Melalui perancangan rapi yang dibuat oleh para pelajar dengan bantuan pensyarah komunikasi, kempen pemasaran bersepadu yang strategik telah dilaksanakan dan kini setelah empat bulan projek Komunikasi@YOKUK dijalankan, masyarakat khususnya di Pulau Pinang dan Kelantan semakin menyedari kewujudan YOKUK,” tambahnya.
Menurut Jamilah lagi, projek ini bukan sahaja dijalankan di Pulau Pinang dan Kelantan, tetapi turut berlangsung di Kuala Lumpur yang bertujuan mengumpul lebih banyak dana serta memperkukuhkan jenama YOKUK.
Bagi Pengasas YOKUK, Datin Suliana Shamsuddin Alias turut mengalu-alunya kerjasama daripada Pusat Pengajian Komunikasi USM dalam menolong pihak YOKUK bagi mendapatkan dana untuk menampung perbelanjaan menguruskan OKU ini.
“Sebelum ini, Hospital USM di Kubang Kerian banyak membantu dari segi memberi perkhidmatan kepakaran mereka kepada pesakit-pesakit OKU ini, tetapi projek kali ini membawa kelainan apabila PPK tampil membantu YOKUK dari segi memungut dana dalam menyelenggara Yayasan ini serta memperkenalkan fungsi YOKUK kepada masyarakat,” tambahnya.
Jelasnya lagi, YOKUK menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk membawa mereka ke hospital untuk mendapatkan rawatan selain menyediakan terapi seperti ‘riding’ yang menggunakan kuda khususnya kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah ‘Cerebral palsy’ dan ‘Down Sindrom’ yang dapat membantu membetulkan postur badan mereka.
Lebih 200 orang menghadiri perasmian karnival ini. Pelbagai aktiviti dijalankan sejak September lalu antaranya pengumpulan dana melalui siri jelajah roadshow, pameran dan jualan amal. Pada hari ini juga diadakan sesi perkongsian bersama OKU yang berjaya bersama graduan OKU Doktor Falsafah USM, Dr Mohd Sharizal Abdul Aziz dan pelajar Sarjana Sains Sosial, Khu Li Fang.
Yang hadir sama ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YOKUK, Datin Nik Ruziah Nik Salleh, dan Tokoh Pendidikan OKU, Dato' Hajjah Saleena Yahaya Isa.
- Created on .
- Hits: 1732