USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BERKOLABORASI DENGAN UNIVERSITI DAN INDUSTRI LUAR NEGARA DALAM BIDANG SENI BINA DAN KOMUNIKASI

Teks: Nor Rafizah Md. Zain (This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.)

Foto: Mohd Fairus Md. Isa (This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.)

PULAU PINANG, 3 Disember 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini memeterai dua Memorandum Perjanjian (MoA) dengan dua institusi luar negara dalam bidang kepakaran masing-masing.

USM melalui Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PPPBP) bekerjasama dengan Omdurman Islamic University (OIU), Sudan dalam pertukaran pelajar dan pensyarah bagi program alam bina yang mana kedua-dua pihak dapat mendalami kajian di negara luar terutamanya Sudan dan Malaysia.

“Melalui perjanjian ini mobiliti pelajar dan pensyarah USM dapat ditingkatkan begitu juga sebaliknya terutama dalam bidang alam bina," kata Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman dalam sidang media sejurus selepas penandatanganan MoA berkenaan.

"USM dan OIU juga boleh menjalankan kajian bersama dalam bidang rekabentuk dan senibina lestari selaras dengan pembangunan USM sebagai sebuah universiti hijau serta mengkaji seni bina warisan bagi kedua-dua negara tersebut," tambah Omar.

Menurut Dekan, Fakulti Sains Kejuruteraan, OIU Sudan Profesor Dr. Kamaladin Elsiddig Bashar, ini bukan kali pertama OIU berkolaborasi dengan USM dan ini adalah bertujuan mengukuhkan lagi hubungan yang sedia ada.

"Saya bangga dengan kolaborasi ini dan mengikuti perkembangan USM yang semakin maju dalam pelbagai bidang dan berterima kasih kerana terus merapatkan jaringan yang sedia ada," kata Kamaladdin yang mewakili Naib Canselor OIU.

MoA USM bersama syarikat teknologi terkemuka Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. melalui Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar untuk menghadapi cabaran dunia media dan komunikasi yang sebenar.

"Huawei telah menyumbang sebanyak RM30,000 bagi  penghasilan video viral dan untuk penganjuran aktiviti-aktiviti libatsama dengan kumpulan belia serta memperkasakan orang kurang upaya selain dapat membantu para pelajar kita menggunakan teknologi untuk program komuniti yang mana program bagi orang kurang upaya ini adalah salah satu tujahan USM dalam libatsama komuniti," kata Omar.

"Pihak Huawei dan USM juga sedang berbincang untuk melakukan kolaborasi dalam teknologi digital untuk pengajian komunikasi dalam masa terdekat serta membantu PPK dalam melengkapkan makmal dan program-program yang menggunakan teknologi," kata Naib Canselor.

Menandatangan MoA bagi pihak Huawei adalah Pengarah, Southern Pacific Integrated Marketing Communication Department Huawei, Suo Da Yong bersama saksi Sean Kok Choon Ming.

Saksi bagi pihak USM bagi kedua-dua MoA adalah Dekan PPPBP Professor Dr. Aldrin Abdullah dan Dekan PPK Profesor Madya Dr. Jamilah Ahmad.  

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia, Dato' Dr Chamil Wariya dan Timbalan-timbalan Naib Canselor USM serta staf PPPBP dan PPK.

  • Created on .
  • Hits: 1043

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024