USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KERJASAMA ANGGOTA ASEAN-FEN TINGKATKAN SEKTOR PERIKANAN DI ASEAN

Teks: Syuhada Abd Aziz (This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.)

Foto: Mohd Fairus Md Isa (This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.)

PULAU PINANG, 2 Disember 2015 – Simposium Perikanan Antarabangsa (IFS) 2015 bakal menjadi platform untuk negara-negara ASEAN berkolaborasi dalam usaha mempertingkatkan bidang penyelidikan dalam industri perikanan dan akuakultur.

Industri perikanan merupakan sektor yang dianggap penting kepada semua negara kerana menjadi sumber yang menjana ekonomi bagi kebanyakan negara di dunia khususnya Asia Tenggara.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr Omar Osman berkata, jalinan kerjasama ini akan merangsang pembangunan dalam kalangan negara-negara ASEAN dalam penyelidikan dan pendidikan aktiviti perikanan yang berkaitan ke tahap lebih tinggi.

“Buat kali pertama dalam sejarah, USM sebagai tuan rumah menyaksikan perjanjian persefahaman (MoU) antara 16 buah universiti yang terdiri daripada sembilan ahli teras dan tujuh ahli bersekutu masing-masing dari Malaysia, Vietnam, Thailand, Indonesia, Filipina, Myanmar, Kemboja dan Laos," katanya dalam ucapan perasmian IFS 2015 yang berlangsung hari ini.

Jelasnya lagi, negara-negara ASEAN-FEN bersetuju untuk menyokong dan meningkatkan perikanan dan sektor marin melalui pendidikan, penyelidikan dan khidmat masyarakat. Setiap negara anggota ASEAN-FEN saling menyokong dalam menyediakan infrastruktur dan kemudahan seperti makmal, pendidik, penyelidik dan pemegang kepentingan peringkat tempatan, wilayah, negara dan antarabangsa untuk menyelesaikan masalah dalam bidang perikanan dan marin.

ASEAN-FEN ditubuhkan pada tahun 2011 dengan tujuan menyokong dan meningkatkan sektor perikanan dan akuakultur melalui pendidikan, penyelidikan, dan jangkauan awam di rantau ini yang diterajui oleh pengerusinya, Profesor Madya Dr. Sukree Hajisamaee dari Prince of Songkla University, Thailand.

Di samping itu, ASEAN-FEN juga berperanan dalam usaha untuk mengukuhkan dan menggalakkan kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan, pertukaran maklumat serta kakitangan dan pertukaran pelajar dalam akuakultur dan perikanan dalam kalangan anggota negara-negara ASEAN dan dengan institusi antarabangsa dan organisasi untuk pembangunan akuakultur dan perikanan di rantau ini.

Yang hadir sama dalam majlis perasmian IFS 2015 ini Dekan Pusat Pengajian Sains Biologi USM, Profesor Madya Dr. Ahmad Sofiman Othman; Dekan Pusat Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Professor Dr. Mazlan Abd. Ghaffar dan Pengarah Bahagian Pembangunan Akuakultur Jabatan Perikanan Malaysia, Dr. Marzuki Hashim.

IFS 2105 yang masuk tahun kelima penganjurannya merupakan acara tahunan yang diadakan secara bergilir-gilir dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN.

Tambah Omar lagi, IFS 2015 menyediakan pelbagai platform untuk para penyelidik dan peserta industri dalam sektor akuakultur perikanan dalam bertukar-tukar maklumat dan berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan dari negara-negara ASEAN.

“Peranan Universiti dalam memenuhi keperluan industri dengan menyumbangkan kepakaran dari sudut penyelidikan adalah penting kepada industri perikanan dalam penambahbaikan seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya lagi.

Sementara itu, Sofiman yang juga Pengerusi bersama IFS 2015 kali ini, berkata, dengan tema 'Ke Arah Kelestarian, Teknologi Canggih dan Peningkatan Komuniti' diharap dapat melihat kembali industri perikanan dari pelbagai aspek penting bagi memenuhi permintaan makanan utama penduduk dunia yang dianggarkan berjumlah 7.3 billion pada Julai 2015.

“Walaupun sektor perikanan dan akuakultur menunjukkan peningkatan pesat sejak kebelakangan ini, namun ia masih menghadapi pelbagai cabaran seperti penangkapan ikan yang tidak terkawal atau keterlaluan, menggunakan peralatan yang diharamkan, masalah penyakit serta perubahan iklim dan cuaca yang tidak menentu yang kesemuanya memberi kesan negatif kepada sektor akuakultur,” kata Sofiman dalam ucapan alu-aluannya dalam majlis yang sama.

IFS 2015 yang dianjurkan bersama Pusat Pengajian Sains Biologi (USM), dan Pusat Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Jabatan Perikanan Malaysia disertai 415 orang peserta hadir mewakili pelbagai negara ASEAN dan juga dari India, Bangladesh dan Turki.

  • Created on .
  • Hits: 1442

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024