USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENYELIDIK ARKEOLOGI INDONESIA DAN THAILAND KAGUM LAWAT TAPAK ARKEOLOGI SUNGAI BATU

Teks: Syuhada Abd Aziz (This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.)

Foto: Zamani Abdul Rahim (This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.)

PULAU PINANG, 3 Disember 2015 - Penyelidik Kanan Pusat Kajian Arkeologi Kebangsaan Indonesia, Profesor Dr Harry Truman Simanjutak bersama-sama Pensyarah Jabatan Arkeologi Universiti Slipakorn, Thailand, Profesor Dr Rasmi Shoocongdej kagum akan penemuan yang telah dibuat oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) mengenai tapak warisan Sungai Batu di Merbok, Kedah.

Bagi Harry, tapak warisan Sungai Batu ini mempunyai potensi untuk menyaingi populariti yang ada di Borobudur di negaranya.

“Sungai Batu ini terlalu istimewa bukan sahaja kerana pengisian sejarahnya malah keistimewaannya terletak pada kedudukan geografi kawasan berkenaan.

Jika dikomersilkan dan diberi publisiti, tapak ini mampu ‘bersinar’. Malaysia bertuah kerana mempunyai warisan sejarah yang cukup bernilai yang kedudukannya terletak di tempat yang mudah diakses dan pemandangan indah Gunung Jerai yang mampu dilihat dari sini,” katanya.

Menurut Harry, di Indonesia juga mempunyai banyak tapak paleolitik seperti ini, namun masih belum ditemui penempatan masyarakat dan bengkel pertukangan besi seperti tapak warisan Sungai Batu ini.

Dalam lawatan selama lebih sejam itu, kedua-dua mereka bersama-sama 70 penyelidik dalam bidang aerkeologi dari Thailand dan indonesia dibawa melawat sekitar tapak arkeologi dan diberi penerangan oleh Pengarah PPAG USM, Profesor Dato’ Dr Mokhtar Saidin.

Sementara itu, menurut Rasmi pula, tinggalan sejarah di Sungai Batu ini dianggap sesuatu yang amat penting untuk dipelihara kerana membawa nilai sejarah yang berharga untuk rantau ini.

“Saya pernah datang ke tapak ini pada tahun 2010 pada awal ekskavasi dijalankan, selepas lima tahun, kedatangan saya pada kali ini, banyak penemuan terbaru yang saya lihat namun masih banyak juga yang perlu dilakukan kerana tamadun ini amat besar sehingga saya rasakan kajian mengenainya tidak akan habis,” katanya kepada pihak media semasa sesi lawatan berkenaan.

Menurutnya lagi, ramai penduduk di Thailand masih belum mengenali Sungai Batu ini walaupun penemuannya dianggap amat penting sekali bagi tamadun ini.

“Akan tiba masanya, tempat ini akan menjadi tumpuan besar pelancong dari seluruh dunia jika langkah tepat diambil dalam mempromosikannya sebagai satu tarikan pelancong,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Mokhtar berkata, kerjasama menerusi bengkel arkeologi Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) yang buat pertama kali diadakan ini dapat menemui lebih banyak persamaan sejarah ketiga-tiga negara ini.

“Penemuan tapak arkeologi Sungai Batu ini membuktikan wujudnya hubungan antara ketiga-tiga negara dan dapat meningkatkan kerjasama antara pakar arkeologi untuk mencari lebih banyak bukti sejarah ketamadunan manusia,” jelasnya.

Selepas sesi lawatan di Sungai Batu, mereka juga dibawa melawat tapak petempatan masyarakat zaman neolitik yang dianggar berusia lebih 5000 tahun. Penemuan beberapa artifak penting seperti kulit siput, beberapa anggota kerangka manusia serta seramik menjadi bukti bahawa Guar Kepah pernah dijadikan penempatan masyarakat pada zaman Neolitik.

Tambah Mokhtar, Guar Kepah juga akan dijadikan satu lagi tapak arkeologi dan akan diwartakan sebagai warisan selepas mendapat kebenaran dari pihak kerajaan negeri.

Selain itu, Mokhtar masih menjalankan penyelidikan untuk mengkaji sama ada tamadun Sungai Batu mempunyai hubung kait dengan penemuan berkaitan masyarakat zaman Neolitik di Guar Kepah ini.

Terdahulu, ketiga-tiga pakar arkeologi ini membuat pembentangan mengenai kajian sejarah pada zaman neolitik di negara masing-masing di Dewan Persidangan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM.

  • Created on .
  • Hits: 838

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024