PEKERJA SOSIAL DIANGKAT SEBAGAI KERJAYA PROFESIONAL
Teks: Nor Rafizah Md Zain (
Foto: Mohd Fairus Md Isa (mo
PULAU PINANG, 2 Disember 2015 – Pekerja Sosial atau Social Worker perlu diangkat dan iktiraf sebagai satu kerjaya profesional dalam kalangan masyarakat Malaysia seperti bidang-bidang profesional lain seperti peguam dan kaunselor.
“Sehubungan dengan itu, USM telah mula menawarkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial kepada golongan yang ingin menceburi bidang ini sebagai kerjaya pada masa hadapan dan seramai 41 orang graduan sulung telah bergraduasi November lalu,” kata Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr Omar Osman dalam sidang media Persidangan Antarabangsa Kerja Sosial buat kali kedua.
“USM juga telah lama menawarkan pengajian Kerja Sosial di peringkat Sarjana sebagai satu langkah untuk meningkat dan mengiktiraf kerja sosial bukan sahaja sebagai kerja sukarela serta inilah masanya untuk kita memberi pengiktirafan kepada setiap kajian dan penyelidikan yang dijalankan oleh ahli akademik serta semua yang terlibat secara langsung atau tidak dalam kerja sosial,” tambah Omar.
Persidangan ini adalah anjuran bersama USM dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Institut Sosial Malaysia (ISM) dengan tema “Celebrating Diversity in One World” dan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri KPWKM, Senator Datin Paduka Chew Mei Fun mewakili Menteri, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim.
Menurutnya, persidangan ini adalah satu platform untuk semua pihak daripada pelbagai latarbelakang untuk bekerjasama dan berkongsi idea serta mengukuhkan perkhidmatan pekerja sosial.
“Saya berharap persidangan ini bukan sahaja untuk membincangkan hal-hal kerja sosial tetapi memberikan pengalaman dari segi praktikal serta langkah untuk mengukur hasil melalui pelbagai medium seperti penilaian dan penghasilan polisi,” kata Chew.
Turut hadir ialah Pengarah ISM, Al-Azmi Bakar, Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Profesor Madya Dr Nor Malina Malek dan Pengerusi Persidangan Antarabangsa Kerja Sosial buat kali kedua, Profesor Dr. Azlinda Azman.
Pada majlis yang sama, Chew turut melancarkan dua buah buku yang disunting oleh USM dan ISM iaitu ‘Partnership and Collaboration in the Asia Pacific Region’ dan ‘New Paradigms in Evidence-Based Social Work’. Turut dimuatkan di dalam buku-buku tersebut adalah kertas kerja yang dibentangkan di Persidangan Antarabangsa Kerja Sosial 2012.
Persidangan ini telah dihadiri oleh 200 orang peserta termasuk pembentang kertas kerja dari lebih 10 buah negara.
- Created on .
- Hits: 1190