INOVASI SEMBURAN UNIK ATASI MASALAH BAU BUSUK
Teks: Marziana Mohamed Alias (marziana
Foto: Muhammad Firdaus Khirudin (
PUTRAJAYA, 3 Dis. 2015 – Masalah bau busuk yang sering dihidu khususnya di ladang-ladang ternakan, tempat pengumpulan getah sekerap, tandas, najis haiwan dan sebagainya boleh diatasi dengan hanya mengambil masa lima minit.
Ia berikutan kejayaan sekumpulan penyelidik melakukan penambahbaikan kepada produk semburan nyah bau (BP Odourless) yang telah dikomersialkan oleh syarikat BP Gemilang Agro Bio Sdn. Bhd.
Inovasi dilakukan kumpulan penyelidik dengan menyuntik elemen penjenamaan semula meliputi intipati bahan semburan dan teknik pembungkusan serta pelabelan.
Ketua Penyelidik, Profesor Dr. Norli Ismail dari Pusat Pengajian Teknologi Industri berkata, pihaknya bekerjasama dengan BP Gemilang Agro Bio menambahbaik keberkesanan produk menggunakan teknik pengkomposan cacing.
Katanya, antara modifikasi yang dibuat termasuk menambah bau-bauan pada produk dengan dua penyegar, glory dan refreshing breeze yang menjadikan produk lebih wangi dan menyamankan.
“Lebih menarik, produk ini berupaya menghilangkan bau busuk dalam tempoh lima minit selepas disembur dan ia nyata tahan lama.
“Kita juga telah menjenamakan pembungkusan mereka kepada bentuk yang lebih mesra pengguna dan mudah untuk digunakan. Produk ini boleh diperoleh di pasaran termasuk di kedai-kedai haiwan peliharaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual bersempena Persidangan Antarabangsa Pemindahan Ilmu (ICTK) 2015 di sini semalam.
Beliau juga berkata, produk tersebut juga adalah inovasi di bawah program pemindahan ilmu (KTP) yang telah berjaya mencapai sasaran dalam menggalakkan pemindahan ilmu melalui pertukaran idea kreatif di antara universiti-industri.
Tambahnya, USM yang mempunyai kepakaran dalam pembangunan penyelidikan berupaya menggunakannya ke arah membantu industri mengoptimumkan prestasi produk mereka dalam pasaran.
Dalam pada itu, pelaksanaan KTP adalah selaras dengan hasrat kerajaan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 yang menuntut eksplorasi ilmu di peringkat antarabangsa.
KTP bukan sekadar memberi manfaat besar kepada dunia akademik dan industri, sebaliknya turut memperkasa masyarakat dan komuniti setempat baik di negara ini, negara membangun ataupun negara maju.
- Created on .
- Hits: 1119