ILMU PENGETAHUAN NADI PEMBANGUNAN MASA DEPAN NEGARA
Teks: Marziana Mohamed Alias (marziana
Foto: Muhammad Firdaus Khirudin (
PUTRAJAYA, 3 Disember 2015 – Kunci utama kepada pembangunan negara adalah ilmu pengetahuan yang turut menjadi faktor penentu memberi kekuatan serta kejayaan jangka panjang kepada negara-negara di seluruh dunia.
Demikian kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching dalam ucapannya bersempena penganjuran Persidangan Antarabangsa Pemindahan Ilmu (ICKT) 2015 yang disertai oleh 250 peserta dari pelbagai negara.
Beliau berkata, Malaysia tidak terkecuali dalam mencorakkan masa depan melalui ekonomi berasaskan pengetahuan (k-economy) yang disifatkan sebagai faktor peneraju dalam mencapai kejayaan ekonomi yang lebih kompetitif.
“Malaysia yang melalui peralihan dari mempraktikkan ekonomi berasaskan kekayaan sumber semulajadi dan komoditi kepada ekonomi berasaskan inovasi dilihat sedang berada pada laluan yang betul dan tepat dengan keadaan semasa.
“Negara perlu mencari kekuatan tersendiri dan dalam konteks ini kita perlu menzahirkan daya saing yang lebih kompetitif melalui kemahiran, kreativiti dan inovasi untuk manfaat masyarakat secara keseluruhan,” katanya.
Teks ucapan Mary dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pengajian Tinggi, Datin Paduka Ir Dr. Siti Hasmah Tapir.
Beliau juga berkata, penganjuran ICKT yang bertunjangkan kepada program pemindahan ilmu (KTP) disifatkan sejajar dengan hasrat negara untuk pembangunan masa depan, selain menzahirkan usaha di bawah Pelan Strategik Pendidikan Tinggi 2020.
“Institusi pendidikan tinggi (IPT) berupaya memainkan peranan lebih besar khususnya dalam membantu penerokaan ilmu yang kemudiannya dipindahkan ke kumpulan sasaran bagi memperkasakan sosial ekonomi mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr.Omar Osman pula berkata, ICKT menjadi platform untuk semua peserta yang telah mendapat geran KTP berkongsi pengalaman mereka dalam melaksanakan program masing-masing.
Beliau berkata, buat julung kalinya juga ICKT telah berjaya membawakan beberapa pembentang kertas kerja dari luar negara termasuk dari United Kingdom, Hong Kong dan sebagainya bagi berkongsi pengalaman pemindahan ilmu.
"ICKT adalah acara tahunan dalam pemindahan ilmu yang diuruskan oleh USM. Sejak diperkenalkan pada 2012, sejumlah 458 projek telah diberikan peruntukan bagi menjalankan pemindaan ilmu dengan kerjasama 490 pihak industri dan komuniti.
“Proses penilaian dan pemantauan sedang dijalankan secara berperingkat-peringkat dan pada tahun ini kita sedang hampir menyiapkan rolling ke-5. Sebahagian daripada peruntukan juga telah disalurkan kepada Universiti di pelbagai peringkat,” katanya.
Omar yang juga Pengerusi Projek Agenda Kritikal KTP turut berbangga dan menzahirkan ucapan syabas kepada sekretariat KTP termasuk Setiausaha CAP KTP, Profesor Dr. Haslan Abu Hassan yang telah memberikan komitmen tinggi dalam menjayakan program berkenaan.
“Tahniah di atas kerjasama semua pihak termasuk lebih 1,500 ahli akademik dari IPT seluruh negara dan lebih 800 siswazah pelatih (GI) yang terlibat dan membantu dalam melaksanakan program ini baik di peingkat pengurusan mahupun penilaian program ini.
“Kita turut berharap KTP akan terus dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-11 dengan beberapa pendekatan baru,’’ ujarnya.
- Created on .
- Hits: 1137