PENDIDIKAN PENCEGAHAN BERTERUSAN ATASI PENYALAHGUNAAN DADAH DAN GEJALA SOSIAL KEPADA KOMUNITI
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah (
Foto: Muhammad Firdaus Khirudin (
PUTRAJAYA, 2 Disember 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus memberi pendedahan berterusan dan pendidikan pencegahan bersama komuniti dengan mengurangkan penyalahgunaan dadah dan masalah sosial melalui program penyertaan menggunakan visualisasi bersama komuniti Ayer Hitam Pulau Pinang.
Ketua projek, Profesor Madya Razak Lajis berkata, program ini memberi fokus kepada komuniti daripada golongan remaja, pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, ahli keluarga, qaryah masjid, Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) dengan mendapatkan maklumbalas penyalahgunaan dadah dan juga isu-isu berkaitan masalah sosial di situ.
"Kami melakukan libatsama bersama komuniti di kawasan ini bagi mengenalpasti masalah dan melalui hasil yang diperolehi, aktiviti-aktiviti pencegahan akan dirancang dan dilaksanakan," jelas Pengarah Pusat Racun Negara USM ini.
Tambah Razak, maklumat-maklumat pencegahan yang disampaikan kepada golongan terlibat ini boleh juga disampaikan kepada kumpulan-kumpulan lain di kawasan tersebut dan ini merupakan konsep pemindahan ilmu dalam komuniti yang ingin diketengahkan.
"Program yang diadakan ini adalah lanjutan daripada program pendidikan pencegahan di Teluk Kumbar yang diadakan terdahulu yang memberi fokus kepada isu ketum dan hidu gam," katanya.
Razak memberitahu bahawa data-data yang diperolehi daripada komuniti ini adalah melalui komunikasi dua hala dan komuniti yang terlibat adalah mereka yang melihat sendiri penyalahgunaan dan gejala sosial yang berlaku ini.
Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah latihan bersama komuniti belia, sesi perkongsian bersama NGO dan sesi interaktif bersama komuniti dewasa yang akhirnya hasil-hasil penyalahgunaan berkaitan dadah, ketum, tembakau dan alkohol diperolehi dan juga gejala sosial yang terjadi akibat perkara ini adalah seperti buli, melepak, jenayah, gangsterism, rempit, perjudian, vandalism dan lain-lain lagi.
Manakala pendidikan pencegahan melalui pemindahan ilmu yang diterapkan adalah melalui literasi pendidikan, pemerkasaan komuniti melalui program karnival pencegahan, jaringan dan hubungan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan/Masjid Bayan Baru Ayer Itam/ Gabungan Anak Pulau Pinang USM, pembangunan kapasiti melalui kem motivasi, aktiviti sukan dan melalui semua ini, Modul Kem Pimpin akan diterbitkan sebagai outputnya.
Modul Kem Pimpin dijuruskan kepada kumpulan remaja dan 80% modul ini sudah disiapkan dan modul ini akan diedarkan kepada golongan sasaran apabila siap sepenuhnya.
- Created on .
- Hits: 1048