VAPE BERI KESAN PADA KESEJAHTERAAN SOSIAL
Teks: Marziana Mohamed Alias (marziana
Foto: Muhammad Firdaus Khirudin (
PUTRAJAYA, 2 Disember 2015 – Fenomena rokok elektronik atau vape dikhuatiri memberi kesan lebih besar dan menjejaskan kesejahteraan sosial, termasuk menggalakkan kumpulan bukan perokok untuk mencuba vape.
Pengarah Pusat Racun Negara, Profesor Madya Razak Lajis berkata, sehingga kini vape dikesan telah mula digunakan oleh masyarakat seawal usia sembilan tahun dan ia tidak mengira lelaki dan wanita.
Katanya, kehadiran vape ini dilihat sebagai satu fenomena yang menjejaskan moral masyarakat dan paling membimbangkan, ia bakal memperlihatkan situasi penggunaan bahan terlarang secara terbuka dan tanpa pengawasan.
“Bila membandingkan rokok dengan vape, banyak persamaan yang ada termasuk kesannya yang memudaratkan kesihatan, pembaziran wang ringgit dan membahayakan diri sendiri dan orang ramai.
“Risiko penggunaan vape itu tetap ada kerana ada kajian yang menunjukkan bahan-bahan dalam vape itu bila dibakar akan menghasilkan bahan lain yang boleh menjadi penyebab barah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Persidangan Antarabangsa Pemindahan Ilmu (ICKT) 2015 yang bertemakan ‘Driving Global Economy Through Knowledge, di sini hari ini.
ICKT 2015 bertujuan untuk menggalakkan pemindahan pengetahuan dalam kalangan ahli akademik, penyelidik, badan-badan kerajaan dan badan bukan kerajaan meliputi pelbagai bidang.
Tambah beliau, walaupun kajian terhadap vape secara menyeluruh belum dijalankan di negara ini, namun ia tidak bermakna vape tidak merbahaya dan selamat digunakan.
“Kesan jangka panjang vape belum diketahui. Rokok misalnya, yang mula diperkenalkan sekitar 1950-an hanya diketahui menjadi punca penyebab kanser setelah kajian membuktikannya selepas 30 tahun digunakan secara meluas.
“Inikan pula vape yang baru diperkenalkan pada 2007. Ia masih agak baru namun kajian mengenainya telah mula dijalankan bagi mengetahui kesan sampingan serta kemudaratannya dengan lebih sahih,” katanya.
Pun begitu, beliau tetap menasihatkan masyarakat untuk menjauhi penggunaan rokok baik secara konvensional mahupun elektronik kerana ia tidak membawa sebarang manfaat.
- Created on .
- Hits: 1639