PELAJAR USM JUARA CABARAN NHUP 2015
Teks: Syuhada Abd Aziz (
PULAU PINANG, 30 Oktober 2015 - Kumpulan pelajar dari Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mengharumkan nama universiti apabila muncul juara dalam pertandingan Nescafe Hub University Program 2015 (NHUP15) baru-baru ini.
Kumpulan yang terdiri daripada pelajar Pusat Pengajian Pengurusan dan Komunikasi ini berjaya mengalahkan wakil dari dua buah universiti yang turut terpilih sebagai finalis dalam NHUP15 iaitu dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga.
Menurut ketua kumpulan finalis pertandingan NHUP15, Goh Zhen Teong, mereka berasa amat gembira dan bersyukur kerana berjaya mengharumkan nama USM.
"Segala penat lelah, kurang tidur dan perjalanan ulang-alik dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur akhirnya berbaloi.
"Hadiah kemenangan ini bukanlah sasaran utama kami kerana ini hanya bonus sedangkan yang penting ialah mendapatkan pengalaman, mengaplikasikan ilmu teori kepada praktikal serta mengharumkan nama USM," tambahnya.
NHUP15 adalah anjuran Nestle Malaysia bertujuan mencungkil bakat keusahawanan dalam kalangan pelajar universiti.
Mereka dinilai melalui pembentangan kertas kerja serta mencapai sasaran jualan minuman Nescafe sebanyak 15,000 cawan dalam masa yang ditetapkan.
Selain daripada jumlah kuantiti jualan, tahap organisasi yang diuruskan serta ketepatan masa turut diambil kira dalam pertandingan ini.
Selaku juara, pelajar-pelajar USM membawa pulang hadiah utama wang tunai sebanyak RM5,000 dan produk Nestle selama setahun dan berpeluang menjalani latihan industri di Nestle Malaysia.
- Created on .
- Hits: 1017