AHLI AKADEMIK DIGESA TURUN PADANG FAHAMI MASYARAKAT
Teks: Mohamad Abdullah (
KUALA LUMPUR, 30 November 2015 - Ahli-ahli akademik di negara ini perlu turun padang untuk melihat dan merasai pelbagai masalah rakyat.
Berucap merasmikan Konvensyen Kebangsaan Kesejahteraan Sosial Komuniti Bandar: Ke Arah Pengukuhan Agenda Berpaksikan Rakyat anjuran bersama Kementerian Wilayah Persekutuan, Majlis Profesor Negara (MPN) Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan dan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa ahli-ahli akademik untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan termasuk Kementerian Wilayah Persekutuan dalam menghadapi pelbagai cabaran yang ada.
"Dengan turun padang, ahli-ahli akademik dapat bersama-sama memahami pelbagai masalah yang ada dan mencari jalan penyelesaiannya," kata Menteri Wilayah Persekutuan itu.
Tambahnya lagi, pelbagai masalah terdapat dalam komuniti bandar yang perlu ditangani bersama misalnya masalah kepelbagaian budaya dan kaum, masalah kemiskinan tegar, perumahan, gelandangan dan pelbagai lagi yang perlu dilihat dari dekat dan difahami serta bersama-sama mencari penyelesaian.
Menteri Wilayah Persekutuan itu turut melancarkan buku “Kesejahteraan Sosial Komuniti Bandar: Pembangunan Dalam Kesinambungan” yang disunting oleh Datuk Profesor Dr. Roziah binti Omar dan Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian terbitan Majlis Profesor Negara.
Yang hadir sama ialah Ketua Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan, Majlis Profesor Negara Datuk Profesor Dr. Roziah binti Omar, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Dato' Haji Mohd Sani Mistan, wakil Naib Canselor USM Profesor Madya Dr. Mohd Zaini Abu Bakar dan Pengarah Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan Datuk Seri Syed Ali Alhabshe.
Seramai 200 orang peserta menghadiri konvensyen sehari tersebut.
- Created on .
- Hits: 690