USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELUANG KEDUA LEBIH BAIK- RUVI

IMG 0586hmh

PULAU PINANG, 15 November 2015 - "Peluang Kedua Lebih Baik" begitulah pegangan dan kata yang menjadi azimat graduan istimewa cacat penglihatan, Ruvindiran Mohan atau lebih dikenali sebagai Ruvi.

Walaupun beliau tidak cemerlang di dalam peperiksaan di peringkat sekolah rendah dan juga di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), peluang yang beliau perolehi untuk mengulangi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) buat kali kedua digunakan sepenuhnya untuk belajar bersungguh-sungguh.

"Saya sangat menitikberatkan pelajaran serta berhabis-habisan untuk menjejak kaki ke menara gading dan saya bersyukur diterima masuk ke Universiti Sains Malaysia dalam bidang yang saya minati iaitu Kerja Sosial," kata Ruvi. 

Ruvi bukan sahaja dapat melanjutkan pelajaran ke USM malah dapat bergraduasi dengan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif 3.71 dalam Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial tersebut serta dinobatkan hadiah pingat emas USM untuk Pelajar Kelainan Upaya (PKU) Terbaik.

IMG 0598dgbng

Anak sulung daripada dua beradik ini melalui sesi temuduga seperti pelajar normal yang lain untuk permohonan ke USM dan beliau menunjukkan minat yang begitu mendalam dalam segala lapangan. 

Hal ini diceritakan oleh Pengerusi Rancangan Kerja Sosial yang juga pesyarah Ruvi di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Profesor Madya Dr. Azlinda Azman.

"Ruvi sangat aktif di dalam kelas serta lebih terbuka dalam memberikan pendapat dan sangat komited, rajin dan bijak.

“Saya sangat teruja beliau dapat menghabiskan pembelajaran di sini dengan cemerlang dan kredit juga harus diberikan kepada rakan-rakan sekelasnya yang sangat membantu dalam pergerakannya di dalam dan luar kampus,” kata Azlinda.

Ibu Ruvi, Shanti Arumugam,49 berkata Ruvi adalah seorang anak yang rajin dan sangat berdikari kerana Ruvi telah tinggal di asrama sejak berumur 10 tahun.

“Ruvi dapat menguruskan diri sendiri dengan baik dan semasa di desasiswa Aman Damai saya selalu datang dan membawa makanan kegemarannya, iaitu masakan India seperti capati,” katanya ketika ditemui di sidang media khas sempena Upacara Konvokesyen ke-52 USM.

Adik Ruvi, Dhurrgashini Mohan,20 kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Perakaunan di Universiti Utara Malaysia.

Menurut Ruvi, beliau sangat bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Doktor Falsafah kerana minatnya yang begitu mendalam untuk menjadi pensyarah.

Teks: Nor Rafizah Md Zain

 

  • Created on .
  • Hits: 804

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024