MALAM KEAGUNGAN MUZIK JAZZ BAND USM - "SPECTACULAR" BANTU YAYASAN USM
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah (
Foto: Zamani Abdul Rahim (
PULAU PINANG, 30 November 2015 - USM Jazz Band di bawah Pusat Pengajian Seni (PP Seni) Universiti Sains Malaysia (USM) telah memukau para penonton yang membanjiri Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) dengan persembahan yang mantap dan penuh bertenaga di bawah pimpinan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan PP Seni, Prof Madya Razif Mohd atau pun terkenal panggilan mesra Jeep.
Razif berkata, konsert pada kali ini menampilkan hampir 60 pemuzik dan artis yang terdiri daripada pelajar, alumni dan staf USM di samping kanak-kanak, pemuzik jemputan luar dan juga tujuh pemuzik jemputan khas daripada Thaksin University, Songkhla Thailand.
"Selain berhibur, konsert pada tahun ini didedikasikan khas kepada satu aspirasi universiti iaitu inisiatif dan usaha menyokong Yayasan USM melalui sumbangan 30% daripada hasil kutipan penjualan tiket konsert yang disalurkan kepadanya," jelasnya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dato' Dr. See Ching Mey pula memberitahu, sumbangan kepada Yayasan USM ini adalah untuk menampung bantuan dan kemudahan seperti biasiswa kepada golongan komuniti yang memerlukan bagi mencapai impian mereka, terutamanya para pelajar USM yang berbakat tetapi cita-citanya terbatas kerana kurangnya sumber kewangan.
See Ching Mey juga berharap agar USM Jazz Band dapat terus maju di masa hadapan bukan sahaja di peringkat USM sahaja malahan peringkat nasional dan juga antarabangsa serta mendekatkan komuniti dengannya yang bersifat keterangkuman ini.
USM Jazz Band merupakan platform para pelajar USM dan komuniti berkumpul dan mengasah bakat dalam bidang muzik masing-masing.
Antara penaja konsert malam ini adalah Bulb 84, Peaberry, Hanna&Kent, Kurtos Spiroll, Cafe Soul, Penang Escape, Elegante Piano House, Subway, Uber, Eureka Snack Bar, Bear Paw, Nois Coffee, Youthstoday, Aim.Max Media dan lain-lain lagi.
Kira-kira 2,000 orang penonton yang membanjiri konsert pada malam ini terpukau dengan alunan muzik-muzik genre jazz dan muzik-muzik trend terkini.
Yang turut hadir ke konsert ini adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan isteri, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan dan isteri dan Dekan PP Seni Profesor Madya Mohamad Omar Bidin.
- Created on .
- Hits: 1126