RSEN BERTEKAD MAJU KE HADAPAN DALAM ASPEK KELESTARIAN
Teks & Foto: Hafiz Meah Ghouse Meah (
PULAU PINANG, 30 November 2015 - Karnival Gaya Hidup Lestari 2015 anjuran Regional Sejahtera Education for Sustainable Development Network (RSEN) dan RCE Penang telah memberi makna yang mendalam dari sudut penekanan kepada aspek kelestarian.
Bercakap ketika majlis penutupan karnival selama dua hari ini, Profesor Madya Dr. Munirah Ghazali berkata, segala yang dirancang bermula dari majlis perasmian hinggalah ke majlis penutup amatlah baik dan semuanya berjalan dengan lancar.
"Perkara yang penting adalah kita selesai bersama-sama menjalankan aktiviti-aktiviti seperti pameran yang mengumpulkan 17 pemamer yang menunjukkan keupayaan sebuah jaringan yang berusia setahun jagung, sebagai petanda baik untuk bergerak ke hadapan," jelasnya.
Munirah optimis tujuan utama karnival ini untuk ahli-ahli RSEN berkenalan dan mengetahui aktiviti kelestarian yang dilaksanakan setiap organisasi telah tercapai.
"Saya berharap karnival yang sangat bermakna dan juga meriah ini mampu memberi impak tinggi dan juga manfaat pada semua khususnya para pelajar USM," tambahnya.
Munirah juga berharap agar hubungan antara ahli RSEN terus dibaja, disuburkan dan diteruskan demi pelebaran sayap kelestarian pada masa hadapan.
Antara pemamer pada karnival kali ini adalah Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Japan Malaysia Association, Jabatan Botani, Pusat Pengajian Arkeologi Global, Kampus Sejahtera, Cosmopoint, Sahabat Alam Malaysia, RECSAM, Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), sekolah-sekolah sejahtera dan lain-lain lagi.
- Created on .
- Hits: 669