SAMBUTAN JUBLI PERAK PP PENGURUSAN CAPAI SASARAN DAN MATLAMAT
PULAU PINANG, 29 November 2015 – Sambutan Jubli Perak Pusat Pengajian Pengurusan Universiti Sains Malaysia (USM) telah melabuhkan tirainya pada hari ini dengan berlangsungnya upacara penutupannya yang berjalan lancar bertemakan "Humanizing Sustainable Excellence".
Dekan Pusat Pengajian Pengurusan, Profesor Dr. Fauziah Md Taib amat berbangga dengan semua aktiviti sepanjang sambutan ini sejak Mac lalu yang bersifat 'self-sustaining' kerana pusat pengajian tidak mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk pelaksanaan program dan selain itu, terdapat program yang dijalankan memberi keuntungan.
"Secara keseluruhan, aspirasi universiti untuk menjayakan kelestarian dalam setiap program dan penjanaan kewangan berjaya dicapai sepanjang program kali ini," katanya.
Tambah Fauziah lagi, sambutan kali ini istimewa kepada pusat pengajian ini yang memperolehi kejayaan-kejayaan cemerlang sepanjang tahun 2015 dan juga untuk meraikan pengiktirafan yang diterima dalam QS World Ranking 2015 pada tempat ke 89 dalam kategori fakulti serta tempat ke 100-150 dalam kategori subjek.
"PP Pengurusan juga telah membina reputasi tersendiri baik dari segi pembelajaran mahupun penyelidikan dengan melahirkan graduan yang berkualiti dan mempunyai nilai dan kemahiran mantap untuk pasaran pekerjaan justeru memberi impak kepada dunia perniagaan masa kini," tegasnya.
Beliau juga berkata, kisah kejayaan PP Pengurusan ini memberi refleksi kepada reputasi domestik dan antarabangsanya dan sambutan jubli perak ini adalah salah satu pencapaian dan akan diteruskan untuk manfaat generasi seterusnya.
Fauziah juga mengucapkan tahniah kepada para pelajarnya yang telah memenangi tempat pertama dalam Program MICPA-CAANZ dan juga Pertandingan Pelan Perniagaan Nestle peringkat kebangsaan pada minggu ini yang merupakan hadiah bermakna sempena majlis penutup Jubli Perak PP Pengurusan.
Sejak penubuhannya pada tahun 1989, PP Pengurusan telah melahirkan lebih 10,000 siswazah pengurusan dan perakaunan yang antaranya merupakan individu berpengaruh.
Antaranya ialah Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU Datuk Seri Idris Jala, Menteri Riset, Teknologi dan Pendidikan Tinggi Republik Indonesia, Profesor Dr. H. Mohamad Nasir, Presiden Syarikat Kuasa Kebangsaan Arab Saudi, Dr. Fareed M Al-Yagout, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Presiden Texchem Food Sdn. Bhd., Guan Hooi Tan @ Brian Tan dan ramai lagi.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 795