USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KARNIVAL GAYA HIDUP LESTARI PROMOSI KEHIDUPAN YANG SIHAT

PULAU PINANG, 28 November 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Regional Sejahtera Education for Sustainable Development Network (RSEN) yang merupakan jaringan gabungan pelbagai agensi dalam mempromosikan gaya hidup lestari menganjurkan buat pertama kalinya Karnival Gaya Hidup Lestari 2015 atau KGHL 2015.

KGHL 2015 ini bertujuan menyemarakkan agenda global dalam Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD) menerusi pelbagai aktiviti serta mewujudkan platform untuk ahli RSEN saling berkongsi kepakaran dalam bidang kelestarian.

KGHL 2015 dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr. Hilmi Yahaya bertempat di Dewan Utama Pelajar, USM.

Menurut Hilmi, program sebegini bukan sahaja merapatkan hubungan di antara 45 ahli RSEN namun dapat pula menyebarluas pelbagai amalan dan gaya hidup lestari dan sihat.

"Kementerian Kesihatan Malaysia juga menjalankan pelbagai aktiviti untuk membantu memberikan maklumat kepada orang awam mengenai gaya hidup sihat dan lestari serta pada masa kini dalam perancangan untuk menaikkan papan tanda jadual kalori dalam setiap hidangan di kawasan rehat dan rawat (R&R)," kata Hilmi yang juga bersama-sama 150 orang peserta karnival berjalan kaki dari Padang Kawad ke Tasik Harapan untuk simbolik gaya hidup lestari dengan menanam tiga batang pokok di sekitar tasik.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) USM, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein, karnival ini sangat bertepatan dengan misi USM iaitu Mentransformasikan Pengajian Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok.

"USM sangat menyokong karnival seperti ini dan banyak program yang dijalankan di USM ke arah kelestarian dan gaya hidup lestari seperti Sejahtera Walk setiap Rabu dan Tai Chi di Pusat Sejahtera USM," kata Adnan yang mewakili Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman.

Orang ramai dijemput untuk memeriahkan karnival ini yang akan berlangsung sehingga 29 November ini bagi mendapatkan pelbagai maklumat mengenai gaya hidup lestari di samping pelbagai aktiviti dan pertandingan diadakan seperti Pertandingan Masakan Sihat, Life Capture, Mewarna, VideoLog dan Akustika Sihat.

Antara aktiviti lain yang akan diadakan adalah sesi perkongsian pengalaman oleh pelbagai agensi kerajaan mengenai Kepentingan Alam Sekitar, Perma Culture Farm, Live on with Vape, Demonstrasi: Pengurusan Sisa Makanan dan Bengkel Asas Berkebun.

Turut diadakan adalah Pertandingan Futsal, RSEN Walk serta Foot Volley Demo. Penyertaan untuk semua pertandingan adalah percuma dan hadiah menarik menanti anda. Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman sesawang RCE Penang di http://www.rce-penang.usm.my/index.php/en/

Teks: Nor Rafizah Md Zain

  • Created on .
  • Hits: 901

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024