AHLI KELAB MYAGROSIS DISERU JADI USAHAWAN MUDA
PULAU PINANG, 26 November 2015 – Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berharap suntikan budaya niaga kepada seramai 11,853 ahli Kelab Usahawan Siswazah Tani (MyAgrosis) di universiti awam dapat menangkis sikap siswazah universiti lebih suka makan gaji. Sebaliknya usaha ini diharapkan mendorong mereka memilih kerjaya sebagai usahawan tani.
Pengerusi LPP, Tan Sri Dato’ Hj Zainal Dahalan berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengambil inisiatif menubuhkan unit baru iaitu unit agropreneur muda dalam menarik minat lebih ramai golongan ini memasuki dunia keusahawanan tani.
“Bilangan golongan muda yang menyertai pertanian agak rendah iaitu sekitar 14 peratus dan saya berharap dengan adanya usaha sebegini dapat meningkatkan penyertaan belia di samping pemberian peluang dan ruang yang seluas-luasnya oleh kerajaan melalui program latihan dan dana,” katanya.
Tambahnya lagi, graduan tidak perlu bimbang kerana pelbagai pihak akan memberikan bantuan modal dan khidmat nasihat supaya bidang itu dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Semasa pembentangan bajet 2016, Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM90 juta bagi pelaksanaan program di bawah agropreneur muda yang menunjukkan bahawa kerajaan amat prihatin terhadap usaha golongan muda dalam mendekatkan diri dalam bidang pertanian,” jelasnya dalam sidang media selepas merasmikan karnival Agropreneur muda 2015 di Kompleks Cahaya, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein, dan Pengarah LPP Pulau Pinang, Azahari Md Isa.
Zainal berkata, kerajaan menawarkan kesemua itu supaya generasi muda hari ini berusaha menjadikan pertanian sebagai bidang untuk diterokai, sekali gus negara tidak perlu lagi mengimport sayur-sayuran dan buah-buahan yang menelan kos berbilion ringgit setiap tahun.
Harapannya, dengan penubuhan Kelab MyAgrosis sejak tahun 2011 lagi akan membuka minda dalam kalangan pelajar untuk menjadikan bidang pertanian satu perniagaan yang menguntungkan dan sebagai jaminan masa depan yang cerah bagi mereka yang berpandangan jauh.
Turut diadakan dalam karnival ini sesi perkongsian bersama usahawan selebriti, pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages, Ernie Dato’ Sosilawati dan Dr. Fazley Yaakob selain terdapat gerai jualan oleh usahawan muda kelab MyAgrosis serta pameran tanaman.
Teks: Syuhada bt Abd Aziz
- Created on .
- Hits: 997