USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USAINS HOLDING BANTU USM HADAPI CABARAN KEWANGAN MASA HADAPAN

IMG 20151128 WA0016

PULAU PINANG, 28 November 2015 - Syarikat yang ditubuhkan pada 17 Disember 1998 oleh Universiti Sains Malaysia (USM), Usains Holding Sdn. Bhd sebagai sayap perniagaannya akan berusaha keras membantu universiti menghadapi cabaran pengurangan dana kerajaan pada masa hadapan.

Pengarah Urusan Kumpulan USAINS, Edwin J. Gomes berkata, USAINS mempunyai peranan yang signifikan dalam mencari dana untuk USM melalui tiga kaedah iaitu menjalankan aktiviti luar untuk USM, melaksanakan projek-projek USAINS yang dapat memberi faedah kepada USM dalam jangka panjang dan meningkatkan keberkesanan pengurusan kos dan ‘overhead’ USM.

“Kemungkinan pengurangan dana kepada universiti awam seperti USM telah lama dinyatakan oleh kerajaan dengan kelestarian kewangan menjadi fokus pembangunan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun bidang-bidang yang menyumbang secara signifikan terhadap jurang dana berikutan pemotongan bajet tidaklah sepenuhnya terhadap aset semasa universiti atau kompetensi.

“Justru kita perlu melihat kepada usaha penyelesaian dalam jangka panjang dengan melakukan langkah penjanaan kewangan melalui pelaburan dalam aktiviti yang dapat menggabungkan penubuhan apa yang dianggap sebagai kolaborasi ‘industry acceptable’ yang perlu diselaraskan dengan aset dengan kompetensi yang ada dan pada masa yang sama melihat kepada model kos operasional dan panduan atau peraturan untuk membolehkan USAINS berbuat demikian,” kata Gomes yang mempunyai pengalaman pengurusan dalam industri global selama lebih 36 tahun yang kembali ke negara ini melalui Malaysia’s Returning Expert Programme dan menyertai USAINS dua tahun lalu.

Tambahnya, perkembangan model perniagaan USAINS akan lebih ketara apabila melabur dalam bidang baharu dengan nilai sebenarnya hanya dapat dilihat dalam tempoh 3 – 5 tahun akan datang.

“Dalam tempoh itu, USAINS akan berusaha keras dalam persekitaran perniagaan Malaysia yang mencabar untuk berkembang melalui penjanaan pendapatan tradisional dengan penekanan utama masih kepada antaranya aset IP USM,” kata Gomes.

Gomes memulakan kerjayanya sebagai pelatih audit di United Kingdom dan yang terakhir sebagai Presiden dan CEO Woleco Group (Singapura) serta pernah menjadi CEO Applied Chemical Asia Singapura, Pengurus Kewangan Korporat OCBC Bank Australia dan Pengurus Audit Borrough & Partners Australia dengan pendedahan pengalaman dan kefahaman terhadap dunia perniagaan di United Kingdom dan Australia serta pasaran baharu di India, Republik Rakyat China, Indonesia dan Timur Tengah.

Jelas Gomes, pada masa ini USAINS dalam proses untuk melaksanakan sebilangan kecil projek yang signifikan dengan meliputi penggunaan aset sedia ada untuk penggunaan yang sebaik mungkin atau menambahbaikkan penggunaan kompetensi luaran di samping melihat semula kepada usaha masa hadapan dalam pembangunan perkhidmatan paliatif swasta yang melibatkan perkhidmatan penjagaan penyakit kronik yang berkaitan dengan penuaan terutamanya di Kelantan, membangunkan perkhidmatan perubatan yang berkaitan dengan keperluan kemahiran di IPPT Bertam USM termasuk membangunkan hospital pakar, penjanaan kewangan melalui kemudahan ruang USM, penjanaan kewangan melalui penggunaan kemudahan makmal dan kepakaran USM yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya, menyediakan perkhidmatan ujian makmal mengikut keperluan industri, membangunkan perkhidmatan swasta dalam bidang niche TVET dan beberapa aktiviti lain,” kata Gomes.

Jelasnya, semua usaha kolaborasi dan pelaburan ini melibatkan satu usaha yang terlalu besar oleh USM secara bersendirian apatah lagi inisiatif ini sangat berfokus kepada motif keuntungan yang memerlukan rakan kongsi dan pembangunan usaha menjana pendapatan ini akan nampak lebih signifikan.

Dengan pengalaman luas dalam perniagaan swasta global, Gomes yakin pengalamannya dapat dimanfaatkan sepenuhnya berdasarkan penglibatannya di universiti selama ini dengan memahami persekitaran yang ada dalam sektor Kerajaan dan universiti yang perlu menggabungkan di antara diplomasi dengan usaha menjana keuntungan perniagaan yang ingin dicapai.

“Sehingga kini, pengalaman saya telah berupaya untuk memposisikan USAINS sebagai sebuah organisasi perniagaan yang mempunyai pandangan masa hadapan yang jauh dengan pasukan kerja yang tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada universiti.

“Cabaran terbesar ialah bagaimana untuk melakukan libat sama kolaboratif di antara ahli-ahli akademik universiti untuk memanfaatkan hubungan dengan industri yang akan memberi faedah kepada keseluruhan pemegang taruh yang nampaknya telah mula menampakkan hasil yang jelas sekarang ini,” tegas Gomes.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1186

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024