USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

1,500 ORANG SERTAI USM CAMPUS FUN RUN 2015

PULAU PINANG, 28 November 2015 - Majlis Penutup Sambutan 25 tahun Pusat Pengajian Pengurusan (SOM) Universiti Sains Malaysia dimeriahkan dengan larian USM Campus Fun Run yang disertai oleh kira-kira 1,500 orang peserta dari dalam dan luar USM.

Dekan Pusat Pengajian Pengurusan, Profesor Dr. Fauziah Md Taib berkata, acara larian pada hari ini mendapat sambutan hangat dan semua yang dirancang berjalan lancar dengan keadaan cuaca mengizinkan untuk larian ini diadakan dengan jayanya.

"Seramai kira-kira 1,500 orang menyertai acara ini menunjukkan bahawa aktiviti yang dianjurkan oleh SOM mendapat sambutan dan pada hari ini, kolaborasi antara Pusat Pengajian (PP) iaitu PP Komunikasi, PP Sains Kemasyarakatan dan PP Siswazah Perniagaan (GSB) menjadi salah satu daripada punca kejayaan yang dapat mengurangkan kos," katanya.

Rata-rata peserta yang menyertai larian ini melahirkan rasa gembira dan kepuasan dengan penganjurannya dan berharap aktiviti larian sebegini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang kerana trend larian sebegini sudah mendapat tempat di hati rakyat Malaysia untuk disertai dan ini juga antara mekanisme yang dapat menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa dan agama.

Antara kategori yang dipertandingkan adalah Lelaki bawah 21 tahun, Lelaki 22 hingga 40 tahun, Wanita 30 tahun dan ke bawah, Lelaki 41 tahun ke atas dan Wanita 31 tahun ke atas.

Para pemenang bagi setiap kategori untuk larian ini adalah Azizul Afnan M. Zakaria, A. Jegatheesvaran, Koay Phaik Chin dan Nur Hazimah Idris.

Acara turut diserikan dengan pembukaan kaunter oleh Tabung Haji untuk pendaftaran akaun (Taha@USM), pembukaan kaunter oleh Yayasan USM untuk pengutipan sumbangan, persembahan pancaragam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free, pameran PP Komunikasi, kaunter Seksyen Pengambilan Pelajar (SPP), aktiviti berzumba, pertunjukan demonstrasi layang-layang dan juga sesi cabutan bertuah.

Antara yang turut hadir ialah Dekan PP Komunikasi, Profesor Madya Dr. Jamilah Hj Ahmad dan ketua-ketua jabatan USM.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 737

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024