ALUMNI USM SARAWAK DIMINTA BANTU USM DAN MASYARAKAT – USM LANCAR JELAJAH BORNEO
KUCHING, 28 November 2015 – Harapan agar Alumni Sarawak untuk terus kembali bersama-sama Universiti dalam memberi apa jua bentuk sumbangan bakti kepada pembangunan Universiti Sains Malaysia (USM) khususnya dan masyarakat amnya amatlah dialu-alukan oleh Universiti.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam Perdana Alumni USM Sarawak di Hotel Imperial, Kuching, Sarawak malam tadi berharap program khas untuk membawa pelajar-pelajar Borneo untuk melanjutkan pengajian mereka dalam bidang yang lebih tinggi di USM dapat disokong sepenuhnya oleh Persatuan Alumni USM Sarawak.
Pada majlis tersebut Naib Canselor USM turut melancarkan Program USM Jelajah Borneo – Jom Masuk USM, yang akan bermula pada awal tahun hadapan.
"USM merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menganjurkan majlis ini dan mengalu-alukan kunjungan Presiden serta seluruh ahli Persatuan Alumni USM Sarawak ke kampus USM yang sudah pastinya akan menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang mampu menggamitkan kenangan lama," kata Omar.
Sementara itu, Presiden Persatuan USM Alumni Sarawak, Dr. John Phoa Chui Leong berkata, pihaknya akan bersama-sama membantu dan menyokong penuh Program USM Jelajah Borneo dalam mencapai hasratnya.
John Phoa berkata, Persatuan Alumni USM Sarawak kini dalam perancangan untuk menerbitkan ‘Who's Who’ yang akan memaparkan kisah-kisah para alumni USM di Sarawak yang telah berjaya.
"Persatuan Alumni USM Sarawak turut akan membantu menjana kutipan dana untuk Tabung Kanser Negara," katanya.
Kira-kira 100 Alumni USM hadir pada majlis berkenaan.
Yang turut hadir memeriahkan majlis makan malam perdana ini ialah ADUN Saribas Mohd. Razi Sitam dan Pengarah Belanjawan, Negeri Sarawak, Datu Junaidi Reduan.
Teks: Muazzah Hj Ismail
- Created on .
- Hits: 1012