USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HOSPITAL USM JADI TUAN RUMAH SIMULASI BANTUAN BENCANA

KUBANG KERIAN, 28 November 2015 – Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional menganjurkan Program Simulasi Persediaan Bantuan Bencana Skuad Uniti Negeri Kelantan bertempat di Dewan Mahasiswa, Kampus Kesihatan.

Menurut Pegawai Perpaduan, Jabatan Perpaduan Negara, Sydina Abidin Abdullah, Skuad Uniti merupakan inisiatif kerajaan untuk gerakan sosial di peringkat akar umbi 'Social Grassroot Movement' dan menjadi pemangkin bagi jaringan kerjasama antara komuniti dengan agensi-agensi lain yang memberi perkhidmatan terutama dalam kes-kes berkaitan bencana, kemalangan dan sebagainya.

"Skuad ini terdiri daripada penduduk kampung yang mewakili kawasan rukun tetangga masing-masing yang mempunyai kebolehan dan kesanggupan melaksanakan pelbagai tugas sukarelawan," katanya ketika ditemui dalam program simulasi pagi tadi.

Sebelum pasukan penyelamat tiba, mereka ini memainkan peranan penting dalam melakukan tindakan awal bagi memastikan keadaan terkawal.

Tambah Sydina, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia bertindak sebagai penyampai input berguna dalam memberi pendedahan secara keseluruhan tentang tindakan yang perlu dilakukan semasa bencana.

'Bah Kuning' yang melanda negeri Kelantan pada tahun lepas banyak memberi pengajaran betapa pentingnya melakukan persediaan awal terutama dalam sistem komunikasi yang secara keseluruhan terjejas teruk.

Jabatan Kecemasan Hospital USM telah membenarkan penggunaan frekuensi radio mereka untuk kegunaan semasa bencana dan perkara ini diperkemaskan lagi dengan bantuan Skuad Radio amatur tempatan yang mempunyai kemudahan peralatan dan kepakaran dalam bidang tersebut.

Begitu juga dengan skuad pacuan empat roda yang diselaraskan untuk membantu dalam urusan logistik terutama penghantaran barangan keperluan kepada mangsa bencana.

Sydina berkata dengan penyelarasan dan gabungan jabatan kerajaan dan badan NGO ini diharap dapat memantapkan lagi tindakan yang akan dilaksanakan menghadapi bencana.

Kira-kira 150 orang wakil daripada Skuad Uniti, Skuad Radio Amatur dan Skuad pacuan 4 roda seluruh negeri Kelantan hadir dalam program ini.

Teks: Mohd Hafiz Yaacob

Foto: Abdul Aziz Latif

  • Created on .
  • Hits: 653

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024