GAYA PEMAKANAN 'SCHOOL LUNCH PROGRAMME' MAMPU HALANG OBESITI
KUBANG KERIAN, 26 November 2015 – 'School Lunch Programme' merupakan model pemakanan sihat yang telah diamalkan oleh negara Jepun sejak pasca perang dunia kedua lagi.
Perkara ini telah dikongsikan oleh Pakar Pemakanan Antarabangsa dari Universiti Jumonji, Saitama, Jepun, Profesor Shigeru Yamamoto ketika berucap dalam 'International Symposium On Wellness, Healthy Lifestyle & Nutrition 2015' kali ke-6 yang berlangsung di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.
Menurut Yamamoto, gaya pemakanan sihat telah diamalkan oleh rakyat Jepun yang diterapkan sejak di bangku sekolah lagi menerusi pengambilan diet pemakanan dengan sumber makanan diperolehi daripada petani di kawasan setempat.
"Penyediaan makanan dilakukan oleh pakar pemakanan menerusi pelbagai jenis hidangan yang diuruskan oleh pihak sekolah secara percuma kepada pelajar," katanya.
Tambahnya, pengambilan bahan makanan segar tanpa bahan kimia akan mengurangkan risiko penyakit seperti obesiti, hipertensi dan sebagainya.
Pengerusi Simposium yang juga Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, USM, Profesor Wan Abdul Manan Wan Muda berkata, simposium ini bertujuan untuk membentangkan penyelidikan, pertukaran maklumat dan data merangkumi skop yang luas mengenai kesihatan, gaya hidup dan pemakanan di rantau Asia Pasifik.
"Perkara ini dapat dicapai melalui kolaborasi antara universiti-universiti di asia seterusnya dapat memupuk kerjasama masa depan yang lebih baik dalam aspek kesihatan," ujarnya.
Wan Abdul Manan berkata penganjuran kali ini menekankan konsep 'wellness for the bottom billion' supaya semua peserta daripada pelbagai peringkat dapat mengikuti simposium ini yang mana maklumat dapat disampaikan pada setiap golongan tanpa mengenakan bayaran pendaftaran yang tinggi.
Kira-kira 200 orang peserta daripada pelbagai universiti di Asia seperti Indonesia, Thailand, India dan Filipina menyertai simposium ini.
Teks: Abdul Aziz Latif
Foto: Mohd Hafiz Yaacob
- Created on .
- Hits: 621