USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

AKTIVITI KOKURIKULUM TINGKATKAN POTENSI DIRI

IMG 5824gjkjh

PULAU PINANG, 27 November 2015 - Pembelajaran di universiti tidak hanya dengan belajar di dewan kuliah, malah menyertai aktiviti kokurikulum juga merupakan sebahagian daripada kurikulum pembelajaran dalam usaha memupuk sifat kepemimpinan, membina dan membentuk sahsiah diri yang sihat serta seterusnya membentuk generasi yang berdisiplin.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal berkata, kegiatan kokurikulum juga mampu membentuk watak dan peribadi seseorang pelajar.

IMG 5837gng

“Mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum merupakan peluang bagi pelajar untuk menjana kecergasan fizikal dan menimba ilmu lain yang tidak dapat mereka perolehi ketika dalam sesi belajar di dalam kuliah, selain itu ia juga mampu menghilangkan stres sesi pembelajaran akademik,” tambahnya.

Jelas Shukri lagi, dengan pelbagai cabaran dan peningkatan tanda aras dalam lapangan pekerjaan kini, struktur kursus kokurikulum mampu membekalkan kemahiran insaniah secara berterusan dan meningkatkan nilai tambah para graduan USM pada masa hadapan.

“Saya juga berharap pelajar-pelajar USM dapat memberi khidmat sosial kepada universiti dan juga masyarakat tanpa mengira masa selaras hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia yang inginkan pelajar melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum berkredit di bawah program libat sama antara universiti dengan komuniti selari dengan Pelan Transformasi Sosial,” katanya dalam ucapan di Majlis Perasmian Hari Kokurikulum USM sidang akademik 2015/2016 di sini, hari ini.

IMG 5850hjkhyj

Sementara itu, Pengarah Projek Hari Kokurikulum Sidang Akademik 2015/2016, Muhd Shaifuldin Suhaimi menyeru supaya pelajar-pelajar khususnya pelajar baharu menyertai aktiviti kokurikulum yang terdapat di USM sebagai salah satu aktiviti yang mampu mengasah bakat yang tersedia dalam diri mereka.

“Selaras dengan tema hari Kokurikulum pada tahun ini, Kokurikulum Meneroka Potensi Membina Peribadi, dapat membantu setiap pelajar mengenal pasti potensi diri masing-masing seterusnya mengembangkan bakat yang mampu membawa diri mereka dengan lebih jauh di masa hadapan,” katanya.

Jelasnya lagi, para pelajar tidak sewajarnya memandang rendah terhadap aktiviti-aktiviti kokurikulum yang ditawarkan di USM kerana ia merupakan sumber bekalan untuk melangkah menghadapi dunia luar yang serba mencabar masa kini.

IMG 5865tyj

IMG 5862jtyj

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang Hari Kokurikulum USM termasuk pameran oleh setiap persatuan yang terlibat selain pada sebelah malamnya turut diadakan persembahan oleh para pelajar USM yang menyertai aktiviti kokurikulum kesenian.

Yang hadir sama semasa majlis perasmian ini ialah Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum, Profesor Madya Dr. Ahmad Tajuddin Othman serta pengerusi-pengerusi Rancangan Kokurikulum.

Teks: Syuhada bt Abd Aziz

Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 3101

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024