USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

REBUT PELUANG CEBURI BIDANG KEUSAHAWANAN

IMG 5759hmh

PULAU PINANG, 26 November 2015 – Mahasiswa diseru agar bertindak merebut segala peluang yang ditawarkan oleh universiti bagi menceburi bidang keusahawanan hijau yang dilihat semakin meluas di pasaran negara ini.

Keusahawanan hijau atau Agropreneur seharusnya dipandang serius oleh mahasiswa kini yang meminati bidang keusahawanan berdasarkan permintaan yang amat tinggi dalam sektor pengeluaran pertanian dan penternakan negara.

Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA), Prof. Dato' Dr. Adnan Hussein berkata, keusahawanan merupakan dimensi baru yang perlu diserap dan dikuasai oleh mahasiswa agar bersedia menyahut seruan kerajaan menambahnilai usahawan tempatan.

IMG 5778ftj

"USM telah menetapkan misi sebagai menyahut seruan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi memperbanyakkan aktiviti keusahawanan di universiti untuk memberi ilmu, pendedahan dan menambah keupayaan mahasiswa berani menceburi bidang perniagaan daripada meletakkan 'mind set' makan gaji selepas tamat pengajian kelak".

Tambahnya, mahasiswa yang sukakan cabaran, kreatif dan berinovatif amat disarankan menceburi bidang keusahawanan kerana kriteria tersebut amat diperlukan bagi menempuh alam perniagaan.

Beliau bercakap ketika Majlis Pelancaran Karnival Agropreneur Muda anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang bersama Sekretariat kelab Myagrosis Universiti Sains Malaysia (USM).

Yang turut hadir ialah Tan Sri Dato' Hj. Zainal Dahalan, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang yang turut merasmikan majlis, Dr. Nazarudin Zainun, Pengarah Pembangunan Pelajar, Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Sahsiah Pelajar, Universiti Sains Malaysia dan Azhari Md Isa, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Pulau Pinang.

IMG 5771ghk

IMG 5785ggjgf

Selain itu, Adnan turut menyeru agar semua pihak menekankan aspek keusahawanan dari peringkat sekolah agar pengetahuan dan nilai tersebut mampu melonjak mahasiswa bersedia menempuh bidang keusahawanan.

"Dari segi budaya, kita dari kecil kurang didedah untuk meminati bidang ini kerana lebih selesa dengan jaminan kerja makan gaji".

"Jadi saya menyeru para mahasiswa supaya bertindak sekarang menerokai ilmu dan praktikal agar lebih bersedia menempuh asam garam perniagaan".

Karnival Agropreneur Muda 2015 yang julung kali diadakan ini antara lainnya bertujuan mengadakan pertemuan antara usahawan dan ahli agropreneur muda bersama ikon usahawan selebriti terbaik yang akan berkongsi ilmu dan membimbing mahasiswa USM mencapai kejayaan terutama dalam keusahawanan.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1331

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024