PENGERUSI KUMPULAN AMBANK RASMI AZMAN HASHIM USM SPORTS ARENA
PULAU PINANG, 25 November 2015 - Pengasas dan Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim hari ini merasmikan Azman Hashim USM Sports Arena yang telah siap dibina sepenuhnya pada September lepas.
Tokoh korporat tersebut yang terkenal dengan pelbagai sumbangan projek kebajikan dan pendidikan berkata, pusat ini akan menjadi satu lagi mercu tanda hubungan akrab di antara Universiti dengan komuniti, sekaligus membantu Universiti Sains Malaysia (USM) merealisasikan usaha ke arah kelestarian kewangan.
“Saya harap dengan siapnya kompleks sukan ini berupaya menyediakan kemudahan sukan khususnya kepada warga USM dan masyarakat sekitarnya,” katanya dalam ucapan perasmiannya di sini, hari ini.
Yang hadir sama pada majlis perasmian ini ialah Pro Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, Timbalan-timbalan Naib Canselor USM serta pegawai utama universiti dan Kumpulan AmBank.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman menyambut baik sumbangan yang diberikan oleh Yayasan Azman Hashim tatkala universiti berhadapan dengan cabaran pengurangan dana Kerajaan dan keperluan untuk kita berusaha mengurangkan pergantungan yang ada.
“Salah satu kaedah untuk kita menghadapinya adalah melalui kerjasama dengan pelbagai pihak terutamanya swasta dan badan-badan amanah atau yayasan bukan sahaja dalam konteks pembinaan bangunan tetapi juga bentuk dana untuk penyelidikan dan juga bantuan untuk para pelajar,” tambahnya lagi.
Harapannya, Azman Hashim USM Sports Arena ini akan menjadi tumpuan masyarakat setempat memanfaatkan kemudahan yang ada di situ.
“Diharap dalam jangka panjang USM mampu berdikari dan menjana kewangan untuk menampung kos penyelenggaraan mahu pun meningkatkan dana dalam membantu memajukan pelbagai acara sukan dan rekreasi di USM,” kata Omar ketika sidang media selepas majlis perasmian.
Arena sukan yang dibina dengan kos RM10 juta ini hanya mengambil masa 11 bulan untuk disiapkan antara lain turut menyediakan Pusat Sehenti AmBank@USM, gimnasium, pusat latihan sukan, dan arena perasmian yang boleh memuatkan 2,000 orang pada satu-satu masa.
Teks: Syuhada bt Abd Aziz
Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1302