USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM JAZZ BAND ANJUR KONSERT TAHUNAN ‘SPECTACULAR’ SUMBANG UNTUK YAYASAN USM

PULAU PINANG, 25 November 2015 – Jazz Band Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia (USM) atau lebih dikenali sebagai USMJB akan menganjurkan konsert tahunan yang ke-19 pada Ahad 29 November 2015 ini di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM. 
 
Konsert bertemakan ‘Spectacular’ dan bermatlamat untuk memberi inspirasi dan penghargaan kepada seni muzik tempatan terutamanya genre Jazz.
 
Tahun ini, siswa-siswi yang menganjurkan konsert ini bertekad untuk menyumbang 30% hasil kutipan tiket kepada Yayasan USM, yang merupakan tabung ditubuhkan oleh USM yang menyumbang kepada biasiswa pelajar USM, pembangunan pelajar dan staf, geran kajian dan libatsama universiti-komuniti.
 
Konsert ini terbuka kepada orang awam dan tiket konsert berharga RM12, RM15, RM30, dan RM50. Tiket konsert boleh didapati di pejabat Dewan Budaya USM. 
 
Konsert tahunan USMJB ini juga menjadi platform kepada siswa-siswi yang berminat dalam seni muzik dan seterusnya menonjolkan bakat yang mereka ada.
 
Sejak penubuhan USMJB pada tahun 1997, USMJB telah banyak mencungkil bakat siswa-siswi melalui pelbagai aktiviti dan persembahan yang dianjurkan dan siswa-siswi juga berpeluang mempelajari kemahiran insaniah seperti kepimpinan, pemikiran kritis, kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran berkomunikasi dan sebagainya.
 
Pengasas dan konduktor USMJB, Prof. Madya Razif Mohd @ Jeep akan mempersembahkan lagu terkemuka daripada ikon muzik seperti Queen, Quincy Jones, Adele dan artis tempatan seperti Anita Sarawak.
 
Menurut Razif, USMJB juga akan memainkan lagu daripada filem-filem terkenal seperti Indiana Jones, James Bond, Jurassic Park dan sebagainya dan konsert kali ini juga akan disertai oleh pemuzik jemputan dari Thaksin University Songkhla, Thailand yang merupakan ahli muzik ternama dan ini merupakan kali ketiga mereka ke sini.
 
Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, sila layari laman Facebook USMJB di facebook.com/usmjazzband.
 
Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah
  • Created on .
  • Hits: 700

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024