EKSKAVASI SUNGAI BATU UBAH SEJARAH TAMADUN ASIA TENGGARA
PULAU PINANG, 25 November 2015 – Sejak usaha ekskavasi dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM) di tapak arkeologi Sungai Batu pada tahun 2009, penyelidik berjaya menggali pelbagai penemuan ketamadunan rantau ini.
Menurut Pengarah PPAG USM, Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin, segalanya bermula atas permintaan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk Jabatan Warisan Negara dan PPAG USM membantu melengkapkan data Lembah Bujang.
“Namun apa yang pihak PPAG dapati, penemuan para penyelidik sebelum tahun 2007 hanya mewakili yang lebih muda daripada penghujung kurun keempat Masihi dan kebanyakannya candi Hindu-Buddha, padahal semua mengetahui Selat Melaka telah digunakan jauh lebih awal,” katanya.
Tambah Mokhtar, PPAG mengambil pendekatan untuk membina semula sekitar Kuno Lembah Bujang untuk mengetahui kedudukan aras laut sekurang-kurangnya pada kurun pertama Masihi.
“Berdasarkan gambar udara, penginderaan jauh dan bukti penggerudian tanah mendapati, pada kurun pertama Masihi laut lebih tinggi daripada aras sekarang yang menyebabkan tapak Sungai Batu lebih hampir dengan laut manakala tapak lain yang ditemui oleh pengkaji awal seperti di Sungai Mas dan Pengkalan Bujang masih berada di bawah air pada ketika itu,” jelasnya.
Pada tahun 2009, PPAG terus melakukan pemetaan dan berjaya memetakan 97 tapak dalam keluasan sekitar 4 km persegi. Penemuan di Sungai Batu memaksa data-data tentang sejarah tamadun serantau dikemaskini.
“Antara penemuan paling besar dan terpenting di Sungai Batu setakat ini, melibatkan monumen ritual di Tapak Sungai Batu 1 yang telahpun disahkan secara saintifik berusia kira-kira 2,000 tahun.
Binaannya amat unik dan setakat diketahui hingga hari ini, ia merupakan satu-satunya binaan ritual memiliki reka bentuk sedemikian di dunia,” katanya lagi dalam Ceramah Arkeologi yang bertajuk Kompleks Arkeologi Sungai Batu, Tamadun Terawal Asia Tenggara anjuran PPAG yang dihadiri oleh kira-kira 500 orang malam tadi.
Tambahnya lagi, monumen ritual ini dikaitkan dengan amalan animisme iaitu penyembahan alam semulajadi masyarakat Sungai Batu pada ketika itu dengan struktur monumen yang dibina adalah berbentuk bulatan di dasarnya serta segiempat tepat di atasnya dan atas sekali terdapat bulatan kecil.
“Berdasarkan tangga naik ke atas bangunan yang berada di selatan tapak, monumen ini digunakan untuk penyembahan Gunung Jerai yang berada di utaranya.
“Dijangkakan agama Hindu-Budha di Lembah Bujang hanya bermula paling awal pada penghujung abad keempat Masihi yang menunjukkan masyarakat Melayu di Lembah Bujang bermula dengan kepercayaan animisme kemudiannya Hindu-Budha dan akhirnya Islam pada kurun ke-12 Masihi,” kata Mokhtar.
Sebagai perbandingan, candi Borobudur di Indonesia hanya dibina pada kurun kesembilan Masihi, manakala Angkor Wat di Kemboja pula dibina pada kurun ke-12 Masihi.
Satu lagi penemuan penting di Sungai Batu melibatkan bengkel peleburan besi, yang menurut Mokhtar, membuktikan penguasaan teknologi tinggi dalam kalangan masyarakat purba di Sungai Batu ketika itu.
Sehingga kini katanya, pengkaji PPAG menemui lebih daripada 20 relau yang digunakan untuk melebur besi di Sungai Batu dan kawasan sekitarnya, membuktikan kehebatan tamadun Kedah Tua yang pernah wujud di Sungai Batu.
“Bukti peleburan besi ditunjukkan dengan kehadiran bijih besi, sisa besi, tuyere (peniup angin), sisa relau, arang dan abu pembakaran serta jutaan jongkong-jongkong besi ditemui ada yang tertanam dan ada yang timbul di permukaan tanah. Dengan menggunakan kaedah saintifik dipanggil Optically Stimulated Luminescence(OSL), hasil penemuan ini sudah berusia 535 sebelum Masihi atau lebih kurang 2000 tahun lalu,” tambahnya.
Mokhtar berkata sehingga kini, 54 tapak sudah dibuka, tujuh daripadanya masih dalam kajian pelajar, 13 tapak masih dalam proses ekskavasi dan 34 sudah siap meliputi penemuan 13 monumen pentadbiran, 5 bengkel besi dan 10 pelabuhan yang lokasinya bertentangan antara sama lain di antara sungai selebar 100 meter pada ketika itu.
“Sungai Batu Kuno ini menjadi kecil dan hampir dilihat seakan saliran parit. Di satu lokasi telah ditemui sebahagian kayu kemungkinan daripada sebuah kapal dan kini masih lagi dalam kajian pihak PPAG,” kata Mokhtar.
Menurutnya lagi, setakat ini masih banyak lagi yang sedang dikaji. Pengkaji masih belum menjumpai kawasan utama pentadbiran atau istana lama dan juga perkuburan.
Mokhtar menjangkakan potensinya berada di antara tapak Sungai Batu sekarang sehingga ke puncak Gunung Jerai melebihi keluasan 1000 km persegi.
Pada pandangan Mokhtar, dengan penemuan industri berat bersama bukti ritual dan lain-lain jelas menunjukkan sistem sosial hieraki yang tinggi yang membuktikan Sungai Batu adalah sebahagian daripada tamadun Kedah Tua meliputi Lembah Bujang.
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia telah menzahirkan komitmen tinggi untuk memastikan Tapak Arkeologi Sungai Batu diangkat sebagai sebuah tapak arkeo-pelancongan yang dilengkapi pelbagai fasiliti.
“Kini, melalui program pemindahan ilmu, pihak PPAG telah melatih 11 orang masyarakat sekitar Sungai Batu sebagai pemandu pelancong yang sudah mampu memberi pendedahan tentang tamadun Kedah Tua kepada para pelancong. Sehingga kini, hampir 7000 orang pelancong datang melawat tapak arkeologi Sungai Batu,” katanya lagi.
Teks: Syuhada Abd Aziz
- Created on .
- Hits: 6347