DISIPLIN DIRI PENTING UNTUK KEJAYAAN
PULAU PINANG, 24 November 2015 - Kor Suksis Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan Majlis Dining Out Kor Suksis USM kumpulan 2012 baru-baru ini.
Pelajar Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Mazni Bin Sidru, 23, berkata, aktif dan pembahagian masa berpersatuan di pusat pengajian, persatuan anak negeri dan juga seorang ahli Majlis Perwakilan Pelajar amatlah mencabar apatah dengan menyertai Kor Suksis USM ini.
"Saya membahagikan masa dengan aktiviti Suksis melalui penyediaan jadual pembelajaran yang juga termasuk jadual berpersatuan dan juga jadual aktiviti luar dengan mengambil kira pelbagai aspek," katanya.
Tambah Mazni, keutamaan terhadap aktiviti Suksis juga dititikberatkan kerana Suksis merupakan salah satu platform terbaik bagi beliau kerana dengan Suksis, beliau dapat memperkukuhkan disiplin diri.
"Inilah cara saya belajar kerana bagi saya bagaimana kita ingin berkomunikasi dengan orang lain adalah melalui satu mekanisme dan platform yang membolehkan kita berjumpa dan berurusan antara satu sama lain untuk perkara tertentu," jelasnya lagi.
Mazni juga memuji kepada tenaga penggerak Majlis Dining Out ini dan juga menyarankan agar majlis sebegini diteruskan pada masa akan datang bagi pelajar Suksis supaya ikatan silaturrahim dapat dieratkan.
Sementara itu, pelajar Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Indok Fadilah Kasim, 23, pula memberitahu, dia membuat jadual untuk aktiviti kokurikulum yang hanya berlangsung pada hari isnin, khamis dan sabtu.
"Rahsianya, pada waktu belajar, saya akan memberikan fokus sepenuhnya dan bagi saya, aktiviti Suksis ini tidak menganggu pembelajaran saya kerana selain belajar, sebagai manusia kita juga memerlukan aktiviti luar ataupun riadah sebegini," katanya.
Tambah Indok, majlis malam ini amat seronok kerana sudah lama tidak berjumpa kawan-kawan dan dengan adanya majlis sebegini dapat bertemu kawan-kawan yang kali terakhir berjumpa pada sesi pentauliahan yang lepas.
"Untuk pelatih baru, saya ucapkan semoga berjaya dan janganlah fikir kokurikulum ini suatu yang membebankan kerana ianya banyak memberi pengalaman sebagai contoh daripada saya tidak suka akan aktiviti lasak seperti masuk ke dalam hutan sehinggalah saya menyukainya," jelasnya lagi.
Yang turut hadir ke majlis ini ialah Naib Canselor yang Kolonel Kehormat PALAPES Tentera Darat Prof. Dato’ Dr. Omar Osman, Asisten Komisioner Polis Kehormat Kor Suksis Prof. Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Komander Kehormat PALAPES TLDM Prof. Dato’ Dr. Muhamad Jantan, Lt. Kolonel Kehormat PALAPES TUDM Prof. Dato’ Dr. Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat Prof. Dato’ Dr. See Ching Mey, Pendaftar USM Siti Zubaidah A. Hamid, Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum Prof. Madya Dr. Ahmad Tajuddin Othman, Deputi Superitenden Polis Kehormat Dr. Mohd Adi Firdaus Tan Abdullah, pegawai-pegawai kanan PDRM, pegawai-pegawai kehormat USM dan pegawai-pegawai Kor Suksis USM.
Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto : Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1312