USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SIME DARBY SUMBANG 14 KERUSI RODA

IMG 20151125 WA0005

KUBANG KERIAN, 25 November 2015 – Hospital Universiti Sains Malaysia menerima sumbangan 14 kerusi roda daripada Sime Darby Properties Berhad untuk pesakit dalam majlis penyerahan yang berlangsung di Kampus Kesihatan USM di sini hari ini.

Sumbangan kerusi roda tersebut disampaikan oleh Ketua Jabatan Pengurusan Kualiti dan Kelestarian Sime Darby, Nor Azahar Md Hussain, kepada Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed.

Yang hadir menyaksikan penyerahan sumbangan tersebut ialah ahli Lembaga Gabenor USM, Tengku Tan Sri Dr. Mahalel Tengku Arif, Timbalan Pengarah Kanan (Klinikal) Dr. Nik Min Ahmad, Timbalan Pengarah Kanan (Farmasi), Hj Zainol Abidin Hamid, Timbalan Pengarah Kanan (Pengurusan), Wan Mohd Sayuti Wan Ismail, dan Timbalan Pendaftar USM Kampus Kesihatan, Hj Yusof Abdullah.

Menurut Mafauzy, dengan adanya sumbangan seperti ini diharap akan dapat menambah jumlah kerusi roda yang sedia ada, untuk membantu memudahkan pesakit ketika menerima rawatan dan meningkatkan mutu perkhidmatan rawatan kepada para pesakit.

IMG 20151125 WA0007

Hospital USM merupakan sebuah hospital pengajar dan rujukan bagi Pantai Timur dengan jumlah kehadiran pesakit yang agak ramai setiap hari dengan peningkatan penggunaan kerusi roda untuk membawa pesakit ke klinik dan sebagainya.

“Kerjasama erat di antara sektor korporat dan agensi awam seperti ini amat bertepatan dalam usaha mencapai keseimbangan sosio-ekonomi negara.

“Sektor korporat diminta untuk turut berada di barisan hadapan dan seiring dengan pihak kerajaan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat terbela dan tidak sahaja tergalas di bahu sebelah pihak semata-mata,” tambah Mafauzy.

IMG 20151125 WA0011

Selain itu, kolaborasi ini dapat merealisasikan misi nasional dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui konsep kebajikan tanggungjawab bersama dalam mewujudkan hubungan simbiotik yang saling memerlukan.

”Diharapkan kerjasama begini dimantapkan lagi dengan konsep National Blue Ocean Strategy (NBOS) yang telah diilihamkan oleh Perdana Menteri Malaysia malah permulaan untuk Sime Darby membantu pihak Hospital USM pada masa akan datang,” kata Mafauzy.

Teks: Mohamad Iqmal Mathlan

Foto: Wan Mohd Rasidi Wan Mood

  • Created on .
  • Hits: 896

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024