USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CINTA IZZAMIR PADA USM

PULAU PINANG, 25 Nov. 2015 – “Sejak dari kecil lagi cinta dan impiannya untuk melanjutkan pelajaran hanya di Universiti Sains Malaysia (USM). Sebaik diberitahu dia bejaya ke USM, dia menjerit kepada saya kerana terlalu gembira.’’

Demikian luahan sayu ibu kepada Allayarham Muhamad Izzamir Nabihan A. Majid, Puan Suriati Omar ketika menceritakan memori manis yang ditinggalkan anaknya yang disifatkan amat sukar untuk beliau dan keluarga lupakan.

Allayarham Muhamad Izzamir, penuntut tahun akhir Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral meninggal dunia dalam nahas membabitkan bas dinaikinya yang sedang dalam rangka lawatan dan kajian di lombong arang batu di Acheh, Mac lalu.

Suriati berkata, anak keduanya dari lima beradik itu adalah seorang yang sangat taat dan tidak pernah memberi masalah kepada beliau dan suami, selain bercita-cita tinggi untuk membahagiakan ibu dan ayahnya.

“Saya masih ingat saat-saat akhir sebelum Arwah ke Acheh, dia ada menyuarakan rasa enggan untuk mengikuti rombongan tersebut memandangkan ayahnya pada ketika itu sedang mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Walaubagaima pun sebagai ibunya, saya terus memberi dorongan kepadanya untuk menguatkan semangat demi menuntut ilmu dan Arwah akur. Saya dan suami juga diberitahu Arwah memang komited menuntut ilmu sepanjang di Acheh,’’ katanya.

Dalam pada itu, bapa Allayarham Muhamad Izzamir, Abd Majid Abd Gaffor, 55, pula berkata, hatinya sebak sebaik menerima khabar USM akan menganugerahkan Ijazah Anumerta kepada Arwah anaknya.

“Walaupun sedih kerana bukan Arwah yang naik ke pentas, namun kami tetap kuatkan semangat untuk datang menerima ijazah ini memandangkan itu adalah antara hajat yang sering diimpikan oleh Arwah sejak kecil.

“Arwah sangat rapat dengan saya dan pernah berkata mahu menjawat jawatan besar untuk bawa kami (ibu dan ayah) menunaikan ibadat haji, selain bercita-cita untuk memberi kesenangan kepada kami,’’ katanya.

Ijazah berkenaan diterima oleh Abdul Majid pada sidang kelapan upacara konvokesyen ke-52 USM yang disampaikan oleh Pro-Canselor USM Tan Sri Mustafa Mansur.

Hadir sama ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dan Dekan PPKBSM, Profesor Dr. Hanafi Ismail.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 905

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024