USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SAKIT BUKAN PENGHALANG UNTUK BERJAYA

IMG 20151124 WA0011

PULAU PINANG, 24 November 2015 – Sakit bukanlah menjadi penghalang untuk seseorang itu berjaya. Ini dibuktikan oleh Setiausaha Eksekutif Pejabat Ombudsman, Universiti Sains Malaysia (USM), Rohana Abdul Aziz, 40, yang menghadapi masalah sistem darah dalam badan pada awal bulan Ogos tahun lalu berjaya  mencapai impiannya menerima segulung ijazah pada Sidang Kelima, Upacara Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) ke-52 baru-baru ini.

Rohana mendedikasikan kejayaannya kepada ibunya, Faridah Mastan, 63, yang banyak berkorban menjaga dan membantu urusan di rumah ketika dia terlantar di hospital, serta suami, Wan Husaini Wan Ab Rahman, 40, seorang Pengurus di sebuah hotel di negeri Kedah yang sanggup berulang-alik setiap minggu ke Pulau Pinang.

Rohana juga mempunyai seorang anak lelaki berusia 17 tahun dan seorang anak perempuan berusia 16 tahun yang sentiasa menyokong dan membantunya.

IMG 20151124 WA0027

Menurutnya, penyakit ini mula dihidapinya selepas tiga tahun belajar di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) untuk mendapatkan ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Antropologi dan Sosiologi/Sains Politik).

Rohana mula bertugas di Penerbit, USM, pada tahun 2008 bersama Pengarah Penerbit, Profesor Dato’ Seri Dr. Md Salleh Yaapar pada ketika itu,  bertukar ke Pejabat Ombudsman pada bulan Mei 2013, apabila Profesor Dato’ Seri Dr. Md Salleh Yaapar dilantik sebagai Ombudsman USM.

IMG 20151124 WA0026

Selama satu bulan Rohana menerima rawatan membersihkan darah di wad Hospital Pulau Pinang (HPP) dan perlu membuat rawatan susulan setiap bulan yang menyebabkannya sering berasa lemah sehingga tidak dapat berdiri dan berjalan sendiri melainkan dipapah oleh keluarga dengan cuti sakit pada bulan Ogos 2014 hingga Januari 2015 dan meneruskan kerja dan pelajarannya walaupun masih belum sembuh sepenuhnya hingga kini.

“Hati saya rasa ingin menangguhkan semester terakhir tetapi dengan sokongan dan semangat yang kuat daripada keluarga serta rakan karib Pembantu Setiausaha Dekan di Pusat Pengajian Sains Komputer, Zarina Mohamed Ibrahim, saya meneruskan pengajian," katanya.

IMG 20151124 WA0024

Tambahnya, mendapat segulung ijazah adalah penting untuk menyuntik semangat kepada anak-anak supaya belajar lebih tinggi dan mencapai kejayaan walaupun dalam keadaan yang sakit.

Teks dan Foto: Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1251

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024