USM UNGGULI ANUGERAH UTAMA MTSF
KUALA LUMPUR, 24 November 2015 - Pakar dalam bidang penyelidikan haiwan lembut bercengkerang Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Aileen Tan Shau Hwai mengungguli Anugerah Sains dan Teknologi, Malaysia Toray Science Foundation (MTSF) 2015 atas sumbangan besarnya dalam penyelidikan tersebut baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Beliau yang juga berpenglaman luas dalam bidang Ekologi Marin, Kajian Persekitaran dan Biodiversiti Marin dan Konservasi menerima anugerah tersebut bersempena MTSF 22nd Prize Presentation Ceremony di sini hari ini.
Kemenangan tersebut membolehkan Aileen membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan sijil penghargaan khas.
Hadir menyampaikan anugerah ialah wakil Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI, Zulkifli Mohamed Hashim.
Aileen ketika ditemubual berkata, beliau terharu dan teruja kerana terpilih sebagai antara saintis terbaik negara yang dinobatkan dengan anugerah tersebut.
"Pencapaian ini adalah satu pengiktirafan terhadap usaha yang telah dijalankan khususnya dalam memajukan bidang penyelidikan biodiversiti marin yang amat berpotensi untuk diteroka.
" USM dan Malaysia juga semakin menjadi tumpuan dalam penyelidikan haiwan lembut bercengkerang dan kita antara perintis yang berupaya membangunkan bidang ini sehingga dikenali di peringkat global," katanya.
Lebih membanggakan, Aileen juga turut mencipta sejarah apabila menjadi saintis wanita pertama yang dipilih sebagai Presiden UNITAS Malacology (UM), sebuah pertubuhan terkemuka dunia yang yang berpusat di Eropah dan ditubuhkan sejak 1962.
UM telah meraih perhatian global khususnya dalam kajian-kajian haiwan lembut bercengkerang di samping meningkatkan kesedaran umum berkenaan isu-isu pemeliharaan, pemuliharaan dan biodiversiti spesis itu di seluruh dunia.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman yang turut hadir meraikan kejayaan besar USM berkata, pengiktirafan tersebut membuktikan kecemerlangan para penyelidik USM dalam pelbagai lapangan.
"Kejayaan ini adalah kebanggaan USM dan membuktikan kecemerlangan penyelidik kita dalam membangunkan pelbagai kajian untuk manfaat bidang ilmu dan masyarakat.
"Ia juga turut diharap dapat menjadi satu suntikan motivasi bagi penyelidik muda lain untuk berusaha mendapatkan geran dari agensi luar dalam memperkasa penyelidikan mereka," katanya.
Tambahnya, pengiktirafan agensi luar juga membantu dalam memberi impak lebih besar untuk kecemerlangan penyelidikan para penyelidik.
Selain Aileen, tiga lagi penyelidik muda USM turut cemerlang kerana terpilih menerima Geran Penyelidikan Sains & Teknologi MTSF 2015 bagi memperkasakan kajian masing-masing.
Penerima berkenaan ialah dua pelajar peringkat Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), Tee Jong Huat dari Pusat Pengajian Sains Perubatan) dan Tan Chu Shan (PP Sains Farmasi) serta pelajar Sarjana, Siti Nurnasihah Md. Hashim dari PP Sains Pergigian. Ketiga-tiga penerima masing-masing memperoleh geran berjumlah RM20,000.
Anugerah MTSF yang masuk edisi ke-22 dibuat bagi mempromosikan sains dan teknologi dengan mengiktiraf sumbangan dan usaha-usaha yang dijalankan oleh para pelajar, saintis dan akademia terkemuka negara dala bidang berkenaan.
Anugerah itu melibatkan tiga kategori utama iaitu Science & Tecnology Award, Science & Technology Research Grant dan Science Education Award.
Hadir sama ke majlis tersebut ialah Duta Jepun ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa, Pengerusi MTSF, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Omar Abdul Rahman, Senior Director Toray Industries Inc. Jepun, Hiroshi Murakami dan sebagainya.
Teks: Marziana Mohamed Alias
Foto: Dzulfikar Azmi
- Created on .
- Hits: 891