USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM MENJADI PILIHAN KELUARGA YIAUW DIING SHENG

PULAU PINANG, 24 November 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi pilihan utama keluarga pemenang Pingat Emas Canselor dalam Upacara Konvokesyen Ke-52, Yiauw Diing Sheng, 23, untuk melanjutkan pengajian.

Siswazah Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanik itu berkata, kejayaannya menerima anugerah tersebut adalah berkat hasil kerja keras sepanjang berada di USM sebagai hadiah kepada kedua ibu bapanya yang juga alumni USM.

"Selain ibu dan ayah, adik lelaki saya juga sedang menuntut di sini yang diharapkan meneruskan legasi kejayaan yang dicapai," katanya yang sememangnya dari kecil lagi bercita-cita menjadi jurutera.

Berpegang kepada prinsip ‘study smart not hard’ pada masa yang sama memastikan setiap perkara baharu yang diajar pensyarah difahami bukan sekadar menghafal nota kuliah.

“Tidak dinafikan peranan seorang pelajar sangat banyak namun mereka harus bijak membahagikan masa antara aktiviti ko-kurikulum dengan pelajaran agar kedua-duanya tidak ketinggalan,” katanya.

Bapanya, Yiauw Jia Wey, 51, merupakan alumni USM pada tahun 1989 dari bidang Sains Fizik meluahkan perasaan gembiranya apabila berpeluang untuk kembali ke USM melihat kejayaan anaknya.

“USM terlalu istimewa bagi saya dan isteri kerana di sinilah segalanya bermula, tempat kami bertemu dan USM jugalah menjadi tempat untuk kami berdua menuntut ilmu sehingga menggenggam segulung ijazah,” kata pengurus di sebuah kilang di Johor Bharu.

Katanya lagi, ketika anaknya kecil lagi, mereka sudah dibawa melawat ke USM untuk mendorong mereka supaya melanjutkan pelajaran di USM.

“Kami percaya, USM adalah salah sebuah universiti yang mempunyai kedudukannya yang tersendiri selain daripada mencipta nama sebagai sebuah universiti yang mendapat status APEX,” jelas bapa kepada tiga cahaya mata ini.

Sementara itu, ibunya, Foo Hui Wah, 52, menganggap kejayaan Yiauw Diing Sheng menerima anugerah Pingat Emas Canselor sebagai satu kebanggaan keluarga itu.

“Sejak kecil lagi, mereka tidak pernah menghadiri kelas tambahan, guru-guru di sekolah rendah dan menengah sahaja harapan kami untuk anak-anak berjaya selain ulangkaji pelajaran di rumah dan hanya dipantau oleh kami suami isteri,” katanya yang kini berkhidmat sebagai seorang pendidik.

Dia juga berharap Yiauw Diing Sheng dapat menjadi contoh yang terbaik untuk adik-adiknya supaya mengikut jejak langkahnya.

Teks: Syuhada bt Abd Aziz

  • Created on .
  • Hits: 841

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024