USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR USM BERBAKTI DI KEMBOJA

kemboja 4

KUBANG KERIAN, KELANTAN 24 November 2015 – Seramai 17 orang pelajar Pusat Pengajian Sains Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengikuti misi kesukarelawan di perkampungan Muslim, Kg. Chouk Kranyah, Wilayah Kg. Chhnang, Kemboja dalam program Cambodia: A Life Time’s Change.

“Perjalanan ke kampung tersebut mengambil masa kira-kira dua jam dari Bandar Phnom Penh dan jalan raya yang berlubang, berdebu serta diseliputi tanah merah itu tidak mematahkan semangat untuk meneruskan misi,” kata ketua misi kesukarelawanan, Noor Assyikin Mohd Noor.

“Kami sangat teruja dan tersentuh dengan sambutan yang diberikan oleh penduduk Kg. Chouk Kranyah setibanya kami di sana dan termasuk daripada Mufti Kemboja, Hasim Yunus,” tambahnya.

kemboja 23

“Hasim dan beberapa orang lagi guru sekolah berhampiran yang pernah belajar di Malaysia dan Indonesia menjadi perantara kami di sana kerana penduduk setempat tidak dapat berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia mahupun Bahasa Inggeris,” kata Nurul Amalina Jamil.

“Kebanyakan kanak-kanak di sini tahu menulis dan membaca serta mewarna dengan baik, mereka beruntung kerana dapat belajar di sekolah yang didirikan hasil sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin. 

“Guru-guru pula adalah dalam kalangan masyarakat setempat yang berkhidmat secara percuma untuk meningkatkan taraf pendidikan penduduk di kampung ini,” kata salah seorang penduduk kampung,

Para pelajar telah berjaya mengumpul sumbangan dalam bentuk wang tunai, makanan, pakaian dan peralatan sekolah untuk 328 keluarga hasil sumbangan pelbagai pihak seperti agensi swasta dan kerajaan serta individu.  Selain dari itu, para pelajar juga telah berkongsi ilmu dengan mengajar kanak-kanak cara menjaga kesihatan diri seperti  menggosok gigi dan membasuh tangan dengan cara yang betul.

“Kami juga telah melapah seekor lembu hasil sumbangan pelbagai agensi dan rakyat Malaysia untuk meraikan penduduk kampung tersebut,” tambah Nurul Amalina.

kemboja 5

Penderitaan umat Islam Kemboja yang hidup dalam serba kesusahan dan kekurangan perlu terus dibantu untuk meringankan beban serta penderitaan yang mereka alami. Apa yang sedang berlaku di Kemboja mengundang simpati mendalam kepada seluruh rakyat negara ini untuk membantu meringankan keperitan dan kesengsaraan hidup mereka.

Masyarakat Islamnya mendapat pendidikan secara tidak formal seperti mengaji di sekolah-sekolah pondok kebanyakan dikelolakan oleh pertubuhan-pertubuhan Islam dan individu tertentu. Kedaifan masyarakat Kemboja cukup malang apabila kanak-kanak Islam di sana menghadiri kelas pengajian Al-Quran dengan kemudahan yang amat menyedihkan dan usang.

Pada keseluruhanya program ini dilaksanakan dengan jayanya. Walaupun masalah komunikasi yang terbatas, itu bukanlah halangan untuk meneruskan program seperti ini.

“Kami amat berharap agar program seperti ini akan terus berkesinambungan pada masa hadapan serta dapat berkongsi ilmu dan melakukan kebajikan terutama dalam penjagaan kesihatan memandangkan mereka ini jauh dari kemudahan seperti klinik atau pusat perubatan serta menghadapi masalah untuk membiayai kos perubatan tersebut.” tambah Noor Assyikin. 

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang misi tersebut adalah pertandingan mewarna dan gotong royong membersih sekitar kawasan masjid. Program ini yang berlangsung bermula 6 hingga 12 November 2015 ini adalah anjuran sukarelawan USM bersama Desasiswa Murni dan Nurani, Kampus Kesihatan.

Teks : Mirawati Md Ghani/ Mohamad Iqmal Mathlan

Foto : Noor Assyikin Mohd Noor

Suntingan : Nor Rafizah Md Zain

  • Created on .
  • Hits: 730

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024