USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM JUARA UKM-YSD SUSTAINABILITY CHALLENGE 2015

IMG 20151124 WA0030ngfh

PULAU PINANG, 24 November 2015 - Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) melalui PP Kejuruteraan Mekanik, Teh Wei Huai dan Kaw Meng Chung telah mengharumkan nama USM apabila menjadi juara UKM-YSD Sustainability Challenge 2015 yang diadakan di Hotel Puri Pujangga, UKM, Bangi Selangor baru-baru ini yang bertemakan Kelestarian Minyak Sawit. 

10 pasukan telah tersenarai sebagai finalis bagi pertandingan ini yang terdiri daripada institusi pendidikan tinggi iaitu dari USM, UKM, UNIMAP, UiTM dan UMS. 
 
Penasihat dari PP Kejuruteraan Mekanik, Dr. Mohamad Yusof Idroas berkata, beliau amat berbangga dengan kejayaan ini kerana ini merupakan kali pertama pelajar PP Kejuruteraan Mekanik bertanding di pertandingan Sustainability Challenge 2015 ini yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Yayasan Sime Darby dan lebih manis lagi berjaya memenangi tempat pertama. 
 
"Harapan saya agar kelak lebih ramai pelajar USM yang akan mengambil bahagian dalam pertandingan ini khususnya pelajar PP Kejuruteraan Mekanik kerana ianya dapat menyerlahkan kualiti dan kredibiliti pelajar USM di peringkat kebangsaan dalam memberi idea kreatif dan inovatif terhadap 'Sustainability Development' untuk industri utama negara seperti Sime Darby," katanya. 
 
Jelas Yusof lagi, kemenangan ini telah meletakkan satu tanda aras yang amat baik buat USM dalam menghasilkan pelajar-pelajar yang berpemikiran kreatif dan inovatif, berketrampilan dari sudut komunikasi, interpersonal dan kompetitif. 
 
"Harapan saya juga agar pihak pengurusan PTJ akan terus menyokong usaha pelajar untuk mengambil bahagian dalam pertandingan sebegini dan saya berterima kasih kepada Dekan Prof. Dr. Zaidi Mohd Ripin kerana beliau menyokong sepenuhnya penglibatan pelajar-pelajar PP Kejuruteraan Mekanik dalam pertandingan kompetitif seperti Sustainability Challenge 2015 ini," tambahnya. 
 
Selaku juara, USM membawa pulang wang tunai sebanyak RM 8,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang oleh UKM dan seterusnya UMS. 
 
Sasaran pertandingan ini adalah untuk meneroka dan membangunkan idea inovatif berkaitan industri minyak sawit dalam kalangan pelajar universiti, mewujudkan platform untuk inisiatif kelestarian minyak sawit dan mempromosikan UKM-YSD untuk pembangunan kelestarian teknologi Zero Waste dan CESPRO di peringkat antarabangsa dan serantau.
 
Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah
  • Created on .
  • Hits: 933

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024