RAKAN MASJID ANJUR PROGRAM SEMARAK SUNNAH MEMANAH
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 Nov 2015 - Rakan Masjid Pusat Islam Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan program "Menyemarak Sunnah Memanah" di Padang Kawad melalui aktiviti Bengkel Asas Memanah (Siri-1).
Memanah merupakan sunnah dalam bersukan yang digalakkan oleh Rasulullah SAW yang mampu membina masyarakat sihat sejahtera.
Menurut Pegawai Hal Ehwal Islam USM Kampus Kesihatan,Rosdian Hassan, kaedah pembelajaran dalam bengkel tersebut melibatkan teori dan praktikal, termasuk sembilan asas dan teknik dalam sukan memanah yang perlu dipelajari sebelum seseorang itu memanah.
Pengarah Program, Rahimi Salim pula berkata, peralatan memanah yang digunakan oleh peserta ketika ini adalah busur moden dan pada tahun hadapan pihak penganjur akan berusaha menambahkan lagi kuantiti peralatan yang berkonsepkan busur tradisional pula untuk membolehkan peserta yang telah mendaftar menjadi ahli berpeluang merasai perbezaan di antara alat memanah moden dan tradisional, selain mengadakan kelas latihan bagi ahli pada setiap bulan.
Peserta bengkel, Mohamad Syahmi Arsyad berkata, adalah wajar untuk umat Islam melibatkan diri dengan sukan ini kerana ianya mempunyai rahsia tersendiri dalam membentuk jati diri dan keperibadian seseorang apatah lagi memanah mengajar erti kesabaran, keyakinan serta menajamkan akal fikiran seseorang.
Bengkel memanah mengikut sunnah ini adalah salah satu daripada aktiviti yang dirangka oleh Rakan Masjid USM Kampus Kesihatan bagi menyemarakkan syiar islam dalam kalangan pelajar serta menerapkan nilai-nilai yang baik dari segi jasmani dan rohani untuk membentuk sahsiah pelajar muslim yang unggul.
Teks : Mohamad Iqmal Mathlan
Fota : Rakan Masjid USM Kampus Kesihatan
- Created on .
- Hits: 1108