USM KAMPUS KESIHATAN ANJUR KEJOHANAN WUSHU INTERVARSITI
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 Nov 201- Kejohanan Wushu Intervarsiti 2015 anjuran Kelab Wushu Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) melibatkan penyertaan lebih 100 orang pelajar dari 10 buah universiti seluruh negara.
Menurut Pengarah Kejohanan Chong Wei Hung, aktiviti ini adalah untuk menggalakkan permainan Wushu dan juga mempromosikan kebudayaannya.
Kategori yang dipertandingkan merangkumi basic, foundation, changquan, nanquan, daoshu, jianshu, gunshu dan qiangshu.
Menurutnya lagi, kejohanan itu juga adalah bagi mencungkil bakat-bakat baharu untuk diketengahkan pada Sukan IPT (SUKIPT) 2016 akan datang bagi mewakili IPTA/IPTS masing-masing.
“Kejohanan ini dapat mendedahkan peserta kepada format pemarkahan pertandingan agar dapat bersedia dalam kejuaraan SUKIPT nanti,” ujarnya.
Peserta Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR), Ng Zhi Yi, 21, berpendapat acara ini merupakan salah satu pentas untuk melahirkan dan menonjolkan bakat pelajar dalam sukan Wushu.
Tambahnya lagi, Wushu merupakan salah satu seni mempertahankan diri yang harus dipelajari bukan sahaja sebagai aktiviti sukan malah juga sebagai seni kebudayaan serta menerapkan disiplin yang tinggi di dalam pergerakannya.
Penyampain sijil penghargaan dan hadiah kepada peserta disempurnakan oleh Pegawai Belia dan Sukan USM Kampus Kesihatan Hussin Mohd Dris di Dewan Utama.
Skuad Wushu USM menamatkan kempen Kejohanan di tangga kelima keseluruhan dengan dua pingat emas, empat perak dan dua gangsa.
Teks : Mohamad Iqmal Mathlan
Foto : Hussin Mohd Dris
- Created on .
- Hits: 770