USM KAMPUS KESIHATAN UNGGULI KEJOHANAN BOWLING
KOTA BHARU, 22 November 2015 - Pasukan bowling Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan mengungguli pentas akhir pertandingan bowling anjuran UiTM Kampus Kota Bahru dengan menewaskan empat pasukan lain yang turut bertanding dengan jatuhan pin sebanyak 1191.
Pertandingan yang berlangsung di KB Mall Bowling Arena disertai oleh Universiti Malaya (UM), UiTM Kampus Machang, UiTM Kampus Kota Bharu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan USM Kampus Kesihatan.
Kejohanan dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Kampus Kota Bharu yang mempertandingkan dua kategori utama iaitu berpasukan lelaki dan berpasukan wanita.
Juara kategori berpasukan lelaki dimenangi oleh UMK manakala bagi acara berpasukan wanita diungguli oleh pasukan USM Kampus Kesihatan.
Pelajar yang mewakili pasukan wanita USM Kampus Kesihatan diberi anugerah ratu bowling pada kejohanan ini iaitu Anis Syazwani binti Wan Abdullah yang telah mencatatkan jatuhan pin sebanyak 363 dalam kategori perseorangan wanita yang membawa pulang medal dan sijil pengiktirafan atas kejayaan tersebut.
Menurut Anis, pengiktirafan sebagai Ratu Bowling telah menaikkan lagi semangatnya untuk lebih fokus dalam menjuarai pertandingan pada masa akan datang.
Anis juga telah mewakili USM dalam kejohanan sukan MASUM pada bulan lepas dan beliau telah berjaya mendapat pingat gangsa bagi USM untuk acara perseorangan.
“Selain itu, saya juga mewakili negeri Pahang dalam Sukan Malaysia (SUKMA)," katanya.
Yang turut hadir adalah Ketua Penolong Pendaftar Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) dan Pegawai Belia dan Sukan USM Kampus Kesihatan Hafidz Assad Zakaria.
Teks: Mohamad Iqmal Mathlan
Foto: Hussin Md Deris
- Created on .
- Hits: 878