USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM KHIDMAT KOMUNITI KOR SISPA KUKUH JATI DIRI

KUBANG KERIAN, 22 November 2015 - Seramai 30 orang pelatih dari Kor Sispa Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan telah mengadakan program komuniti bersama anak-anak yatim dan pengukuhan jati diri bertempat di Kem Sri Telong, Bachok Kelantan.

Program yang digerakkan oleh para pelajar ini memilih Rumah Anak – Anak Yatim Salimah yang ditubuhkan sejak tahun 2007 adalah atas dasar keprihatinan mereka untuk merasai, menyelami dan mendekati 50 orang penghuni yang kurang bernasib baik ini kerana dikalangan mereka terdiri daripada anak-anak yatim dan miskin yang berumur 6 hingga 17 tahun.

Selain itu juga, melalui Program Tautan Kasih ini, para peserta dapat meningkatkan kemahiran insaniah mereka, meningkatkan keyakinan diri serta mewujudkan perasaan bertanggungjawab dan berbakti kepada masyarakat sekeliling dan mereka yang memerlukan.

Anak-anak yatim ini juga didedahkan dengan pembelajaran cara-cara memadam kebakaran serta latihan menyelamat asas.

Bagi Penyelia rumah anak yatim tersebut, Ustaz Azhar Mohd Hassim, pelbagai aktiviti menarik yang disediakan untuk para penghuni antaranya ceramah motivasi, sukaneka berkumpulan, pertandingan mewarna, kuiz dan sembang santai bersama para penghuni telah menyentuh hati anak-anak yatim ini.

Secara sukarela, pelatih Kor Sispa ini memberi motivasi kepada anak-anak ini dari segi akademik, pembangunan rohani dan jasmani, keperluan harian, serta pembangunan bakat sentiasa diberi keutamaan.

"Ini adalah sikap yang amat terpuji dan dituntut oleh agama," katanya lagi.

Para pelatih Kor Sispa turut didedahkan  dengan latihan survivor untuk menghadapi cabaran masa hadapan sekiranya perlu berhadapan dengan situasi yang memerlukan mereka untuk berdikari.

Aktiviti lain sepanjang program dua hari itu termasuklah ‘Experiental Learning’, kelas asas ikatan simpulan tali, dan pelbagai lagi.  

Program ini juga bertujuan melahirkan modal insan yang mantap dari segi jasmani, emosi, rohani dan berintelaktual dalam menyelesaikan tugasan serta cabaran yang diberikan dalam setiap aktiviti yang disediakan.

Yang turut hadir adalah Pegawai-Pegawai Bersekutu JPAM USM Kampus Kesihatan yang diketuai oleh Mejar Bersekutu (PA) Mohamad Shahruddin dan Mejar Bersekutu (PA) Hafidz Asaad Zakaria.

Teks : Mohamad Iqmal Mathlan
Foto : Lt. M (PA) Muhammad Fandi Yazid

  • Created on .
  • Hits: 1143

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024